AS tangguh sementara larangan ke atas Huawei
Agensi
Mei 21, 2019 14:44 MYT
Mei 21, 2019 14:44 MYT
Kerajaan Amerika Syarikat (AS) dilaporkan membuat penangguhan sementara terhadap sekatan perdagangan yang dikenakan ke atas gergasi teknologi China, Huawei.
Larangan sementara selama 90 hari itu dikatakan dibuat atas alasan untuk mengelak gangguan secara besar-besaran, lapor Reuters.
Huawei Technologies Co Ltd dibenarkan untuk membeli barangan buatan AS untuk mengekalkan rangkaian sedia ada dan menyediakan kemas kini perisian kepada peranti telefon pintar Huawei sedia ada.
Huawei bagaimanapun masih dilarang daripada membeli komponen Amerika Syarikat untuk mengeluarkan produk baharu tanpa lesen.
Namun ada pihak melaporkan permohonan untuk mendapatkan lesen atau kebenaran akan melalui jalan sukar.
Kebenaran baru ini bertujuan untuk memberi pengendali telekomunikasi yang bergantung dengan Huawei untuk membuat perancangan lain, kata Setiausaha Perdagangan AS, Wilbur Ross dalam satu kenyataan pada Isnin.
"Pendek kata, lesen ini akan membolehkan operasi diteruskan untuk pengguna telefon bimbit Huawei dan rangkaian jalur lebar luar bandar yang ada," kata Ross.
"Objektifnya adalah untuk mengelakkan jalinan internet, komputer dan sistem telefon pintar mengalami masalah," kata Kevin Wolf, bekas pegawai Jabatan Perdagangan AS.
Google pada Isnin mengumumkan penggantungan perkhidmatannya untuk syarikat dari China itu, sekali gus memaksa syarikat itu memindahkan perkhidmatan perkakasan, perisian dan teknikal.
Telefon pintar Huawei yang akan dikeluarkan pada masa akan datang bakal hilang akses kepada perkhidmatan popular, termasuk Google Play Store, aplikasi Gmail dan YouTube.