Tangguh perjalanan tidak penting ke Hong Kong - Wisma Putra
Astro Awani
November 15, 2019 23:25 MYT
November 15, 2019 23:25 MYT
Rakyat Malaysia yang merancang hendak ke Hong Kong dinasihatkan menangguhkan perjalanan yang tidak penting ke daerah-daerah di bandar yang terjejas oleh protes.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Kementerian Luar Negeri turut menasihatkan rakyat Malaysia di Hong Kong supaya mendaftar dengan Konsulat Jeneral Malaysia di bandar itu melalui emel.
"Beberapa daerah di Hong Kong mungkin dipengaruhi oleh protes yang sedang berlangsung.
"Gangguan kepada pergerakan dan pengangkutan awam juga boleh berlaku tanpa notis.
"Oleh itu, buat masa ini, pelancong Malaysia dinasihatkan untuk menangguhkan perjalanan yang tidak penting ke kawasan yang terjejas," kata kementerian itu.
Wisma Putra juga menggesa rakyat Malaysia agar mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan mereka di bandar tersebut.
"Rakyat Malaysia digesa untuk terus berjaga-jaga dan terus memantau perkembangan terbaru melalui berita tempatan atau pengumuman yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan," katanya.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular dan perkhidmatan boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Hong Kong melalui telefon di +852 2821 0800 (semasa waktu pejabat) atau + 852-6900-6390 (selepas waktu pejabat) atau e-mel di mwhongkong@kln.gov .my.
#Hong Kong
#Konsulat Jeneral Malaysia
#pelancong
#protes
#protes Hong Kong
#tangguh perjalanan ke Hong Kong
#Wisma Putra