Tandas kapsul SpaceX rosak, angkasawan terpaksa pakai 'lampin'
Agensi
November 7, 2021 15:42 MYT
November 7, 2021 15:42 MYT
CAPE CANAVERAL: Sekumpulan angkasawan yang akan meninggalkan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada Ahad terpaksa memakai 'lampin' sepanjang perjalanan ke Bumi kerana tandas dalam kapsul yang dinaiki mengalami kerosakan.
Angkasawan NASA, Megan McArthur menyifatkan situasi itu sebagai ‘kurang mematuhi standard’ namun masih boleh ditangani. Dia dan tiga krew lagi akan menghabiskan masa 20 jam dalam kapsul SpaceX, bermula dari saat geladak ditutup sehingga pendaratan yang dijadualkan pada Isnin pagi waktu tempatan.
“Perjalanan angkasa penuh dengan perubahan kecil. Ini satu lagi yang kami perlu hadapi dan tangani dalam misi ini. Kami tidak terlalu bimbang mengenainya,” ujar McArthur, kepada AP.
Selepas siri mesyuarat pada Jumaat, pengurus misi mengambil keputusan untuk membawa pulang McArthur dan krewnya sebelum melancarkan pengganti mereka.
Pelancaran SpaceX itu sudah ditangguhkan lebih seminggu akibat cuaca buruk dan isu perubatan membabitkan salah seorang anggota.
Angkasawan Perancis, Thomas Pesquet, yang akan kembali bersama MC Arthur, memberitahu sepanjang enam bulan lalu, keadaan agak tegang di ISS. Mereka antara lain menjalankan kerja-kerja baik pulih dan naik taraf grid kuasa stesen itu.
Mereka juga berdepan masalah kebocoran tandas dan menemui tempat air kencing terkumpul. Masalah itu kali pertama dicatat pada September dalam satu penerbangan persendirian, apabila satu tiub tercabut dan melepaskan air kencing tersebut.
Bagaimanapun, jurutera mendapati air kencing itu tidak menjejaskan struktur kapsul dan selamat untuk ‘dibiar’ dalam perjalanan pulang ke Bumi. Pada masa sama, para angkasawan perlu bergantung pada pemakaian ‘seluar dalam’ yang NASA sifatkan sebagai ‘mampu menyerap’.
Sementara itu, dari aspek kulinari, kumpulan angkasawan itu berjaya menanam lada di ruang angkasa. Mereka dapat merasai hasil tuaian itu pada minggu lalu.
“Ia memiliki rasa pedas yang menyenangkan,” ujar McArthur.
Selain McArthur dan Pesquet, turut kembali ke Bumi ialah Shane Kimbrough dan angkasawan Jepun Akihiko Hoshide. SpaceX melancarkan mereka ke ISS pada 23 April. Kapsul mereka mampu bertahan selama 210 hari di ruang angkasa, dan Jumaat lalu adalah hari ke-196 bagi mereka.