Tanda retak politik Filipina? Naib Presiden Sara Duterte dakwa Marcos tidak cekap

Agensi
Oktober 18, 2024 21:07 MYT
Hubungan Sara Duterte (kiri) and Marcos Jr kebelakangan ini bertukar tegang, berikutan pertembungan polisi dan siasatan yang dikenakan ke atas bekas presiden Rodrigo Duterte. - Reuters
MANILA: Naib Presiden Filipina Sara Diterte pada Jumaat mendakwa Presiden Ferdinand Marcis Jr tidak cekap dan kekurangan ciri kepemimpinan, sekali gus dilihat sebagai satu 'serangan' yang mencetus keretakan antara dua keluarga paling berkuasa di negara itu.
Reuters melaporkan, perkembangan mengejutkan itu hadir menjelang pilihan raya separuh penggal yang akan datang.
Sara Duterte, anak perempuan Rodrigo Duterte, telah mengundurkan diri dari Kabinet pada Jun lalu, seolah-olah memberi isyarat tentang kejatuhan pakatan politik kuat yang telah membantunya serta Marcos memenangi pilihan raya tahun 2022.
"Pemimpin yang ada sekarang tidak tahu bagaimana hendak menjadi Presiden. Bukan salah saya jika kita kini dalam hala tuju ke kehancuran," ujar Sara Duterte dalam satu wawancara selama dua jam, yang antara lain menyebut tentang isu inflasi, keterjaminan makanan dan kekaburan dasar kerajaan.
Sara yang sebelum ini berkhidmat sebagai Setiausaha Pendidikan dalam Kabinet menambah, Marcos menjalankan pentadbirannya tanpa perancangan jelas.
"Saya tidak pernah ingat beliau berbincang tentang apa yang beliau akan lakukan dalam pemerintahan," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Komunikasi Presiden, Cesar Chavez berkata, Marcos tidak akan memberi respons ke atas dakwaan Sara.
Dakwaan tersebut dicetuskan ketika negara berkenaan sedang menuju pilihan raya separuh penggal pada Mei 2025 nanti, yang bakal menjadi penentu populariti Marcos dan peluang untuknya mengukuhkan kedudukan serta mencari penerus pentadbiran sebelum penggal enam tahunnya berakhir pada 2028.
Hubungan Sara Duterte and Marcos kebelakangan ini bertukar tegang, berikutan pertembungan polisi dan siasatan yang masih diteruskan ke atas bekas presiden Rodrigo Duterte berkaitan 'perang dadah' yang pernah dijalankannya dahulu.
#Filipina #Sara Duterte #Ferdinand Marcos Jr #politik filipina #pentadbiran
;