Tanah runtuh Phuket ragut 13 nyawa, siasatan dijalankan - Gabenor

Bernama
Ogos 26, 2024 20:45 MYT
Hujan lebat sejak malam 22 Ogos dan berterusan sehingga pagi 23 Ogos mencetuskan tanah runtuh yang menjejaskan sembilan kampung. - X @x_thitisorn
BANGKOK: Tanah runtuh pada Jumaat lepas (23 Ogos), berikutan hujan lebat di pulau peranginan popular Phuket di Selatan Thailand, meragut 13 nyawa, menurut Gabenor Phuket Sophon Suwannarat.
Sophon berkata hujan lebat yang bermula pada malam 22 Ogos dan berterusan sehingga pagi 23 Ogos mencetuskan tanah runtuh yang menjejaskan sembilan kampung, 260 isi rumah dan 817 orang.
"Setakat ini, terdapat 13 kematian dilaporkan dengan lapan wanita dan lima lelaki termasuk tiga warga Thailand, dua Rusia dan sembilan Myanmar manakala 19 yang lain cedera," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin (26 Ogos).
Sophon menjelaskan kawasan Khao Nak, tempat tanah runtuh berlaku, terletak berhampiran Kuil Big Buddha, yang dibina di kawasan hutan.
Beliau berkata Wilayah Phuket akan melantik jawatankuasa untuk menyiasat fakta dan menentukan sama ada pembinaan kuil itu menyumbang kepada tanah runtuh.
"Seorang penduduk kampung, yang terjejas akibat tanah runtuh itu mengemukakan surat untuk menuntut Wilayah Phuket menyiasat kawasan itu yang didakwa sebagai punca tanah runtuh," katanya.
Penduduk kampung juga mendakwa banyak pembangunan berskala besar dan tidak terkawal di kawasan itu.
Sophon menyatakan penduduk berasa tidak selamat berikutan kejadian itu dan khuatir akan berlaku tanah runtuh selanjutnya, yang boleh membahayakan nyawa, harta benda dan peluang perniagaan di kawasan berkenaan.
-- BERNAMA
#hujan lebat #tanah runtuh #angka kematian #bencana alam