Tanah runtuh di Phuket ragut lapan nyawa

Bernama
Ogos 23, 2024 00:27 MYT
Hujan lebat di Phuket menyebabkan banjir kilat, aliran air dari hutan, dan tanah runtuh yang menimbus rumah di Mueang Phuket. - X @x_thitisorn
BANGKOK: Sekurang-kurangnya lapan orang dilaporkan maut selepas kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat di pulau peranginan popular Thailand, Phuket, di Wilayah Selatan Thailand, pada Jumaat.
Setiausaha kepada Menteri Dalam Negeri Trisuree Trisoranakul berkata hujan lebat di Phuket menyebabkan banjir kilat, aliran air dari hutan, dan tanah runtuh yang menimbus rumah di Soi Patak 2 di belakang Wat Kittisangkharam di Daerah Mueang Phuket.
"Akibatnya, lapan orang disahkan mati, dan usaha mencari mangsa yang masih hilang sedang dijalankan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Thailand telah dilanda hujan monsun lebat sepanjang minggu lepas yang terutamanya menjejaskan kawasan pantai selatan negara itu serta beberapa kawasan di utara.
Trisuree berkata setelah mengetahui mengenai tanah runtuh yang menimbus rumah, menyebabkan kematian dan kehilangan orang di Phuket, Menteri Dalam Negeri Anutin Charnvirakul telah menyatakan kebimbangan besar terhadap keselamatan orang awam.
Beliau berkata Phuket bukan sahaja merupakan kediaman kepada ramai rakyat Thailand tetapi juga menarik sejumlah besar pelancong dari seluruh dunia.
"Menteri telah mengarahkan Jabatan Pencegahan dan Pengurangan Bencana (DDPM) serta Pihak Berkuasa Wilayah Phuket untuk memberi keutamaan kepada pemantauan kawasan berisiko, menyebarkan maklumat melalui pelbagai saluran kepada penduduk tempatan dan pelancong, serta melaksanakan langkah tegas untuk menandakan dan mengehadkan akses ke kawasan berbahaya," katanya.
-- BERNAMA
#tanah runtuh #Phuket #hujan lebat #Trisuree Trisoranakul