Tanah runtuh di Jawa Timur: 160 orang dipindahkan

Astro Awani
Februari 15, 2021 06:08 MYT
Effendi berkata, dua orang terbunuh, 14 cedera, manakala sekurang-kurangnya 16 lagi masih hilang dalam kejadian berkenaan. - AP Photo/Trisnadi
Sekurang-kurangnya 160 orang dipindahkan dalam insiden tanah runtuh yang menimpa kediaman penduduk di Desa Ngetos, Nganjuk, Jawa Timur, Indonesia pada petang Isnin.
Kata koordinator unit tindakan kecemasan, Agensi Hal Ehwal Sosial Nganjuk, Aris Trio Effendi, dua orang terbunuh, 14 cedera, manakala sekurang-kurangnya 16 lagi masih hilang dalam kejadian berkenaan.
"Penyelamat menemukan dua mayat dan menyelamatkan dua orang di daerah itu.
"Peralatan bagi membantu misi mencari dan menyelamat dalam perjalanan untuk dihantar ke lokasi kejadian.
"Seramai 16 orang masih hilang dan sekurang-kurangnya 13 rumah rosak," katanya.
Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) dalam kenyataannya berkata, mangsa yang mengalami kecederaan kini dirawat di pusat kesihatan masyarakat Ngetos.
Pasuruan, sebuah bandar di provinsi yang sama, juga ditenggelami air selepas sungai melimpah akibat hujan lebat, memaksa lebih 350 orang meninggalkan rumah mereka, tambah agensi itu.
Tanah runtuh yang mengakibatkan kematian dan banjir kilat sering terjadi di seluruh kepulauan Indonesia, di mana hujan bermusim sering berlaku dan tidak henti-henti.
Pada Januari, sekurang-kurangnya 21 orang terkorban dan lebih 60,000 orang dipindahkan setelah beberapa banjir besar melanda Kalimantan Selatan.
#Indonesia #banjir #hilang #mayat #mangsa #tanah runtuh
;