Tanah runtuh: 19 mayat ditemui di lombong jed di Myanmar
Bernama
Ogos 15, 2023 20:45 MYT
Ogos 15, 2023 20:45 MYT
YANGON: Sebanyak 19 mayat ditemui sehingga petang Selasa berikutan tanah runtuh di sebuah lombong jed di negeri Kachin, utara Myanmar, kata polis tempatan.
"Sehingga 2:30 petang waktu tempatan pada Selasa, sebanyak 19 mayat telah ditemui. Kesemua mangsa adalah lelaki.
"Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan," kata pegawai polis dari balai polis Hpakant, Han Win Hlaing kepada Xinhua pada Selasa.
Tanah runtuh itu berlaku kira-kira 3:00 petang waktu tempatan di lombong jed berhampiran Kampung Ma Na di Hpakant, pusat industri jed Myanmar pada Ahad menyebabkan lebih 30 orang hilang.
Beberapa organisasi penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat di lokasi itu sejak Isnin, kata seorang penyelamat tempatan.
--BERNAMA-XINHUA