Tanah Haram bukan tempat sebar slogan politik - Sheikh Sudais
Astro Awani
Februari 26, 2024 21:10 MYT
Februari 26, 2024 21:10 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Hal Ehwal Dua Kota Suci Imam Abdul Rahman bin Abdulaziz Al-Sudais menyeru agar semua jemaah yang bakal menunaikan ibadah di Tanah Haram untuk terus konsisten dengan niat untuk beribadah ke jalan Allah.
Beliau yang juga Ketua Imam dan Khatib Masjidil Haram, Mekah juga memberi ingatan kepada jemaah bahawa Tanah Haram adalah tempat beribadah dan bukan tempat untuk menyebarkan slogan politik.
“Pesan saya kepada mereka yang pergi ke Haramain Sharifain: Jangan mengabdikan diri kepada sesuatu selain ibadah, dan jangan mengangkat slogan dalam Haramain Sharifain kecuali slogan tauhid dan talbiyyah,” jelasnya kepada pemberita tempatan baru-baru ini.
Beliau juga mengingatkan para jemaah untuk tidak membiarkan isu-isu lain menjejaskan tumpuan mereka beribadah.
Pesanan itu ditujukan buat semua jemaah, baik yang mahu melaksanakan umrah, ziarah atau haji.
Amaran seperti ini bukan perkara baharu, malah ia adalah seiring dengan undang-undang yang dikuatkuasakan buat para jemaah.
Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi menerusi Pihak Berkuasa Keselamatan Awam dan Pihak Berkuasa Keselamatan Haji pada 2022 sudah memberi amaran bahawa pihaknya tidak akan membenarkan sebarang slogan politik disebarkan di Tanah Haram pada musim haji.