Tamimi, yang menampar tentera Israel, pernah dipuji Erdogan

Agensi
Februari 13, 2018 06:39 MYT
Tamimi (tengah) mungkin ditahan di penjara Israel untuk satu tempoh yang lama. (Foto AP)
Perbicaraan remaja perempuan Palestin, Ahed Tamimi, yang ditahan selepas menyepak dan menampar tentera Israel, dibuat secara tertutup oleh mahkamah tentera Israel pada Selasa.
Tamimi menghadapi 12 dakwaan termasuk menyerang anggota tentera dan mendatangkan kekerasan.
Bagaimanapun, keluarga Tamimi mahukan perbicaraan dijalankan secara terbuka.
Individu dewasa yang didapati bersalah menyerang anggota tentera boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga 10 tahun.
Namun, ia tidak akan berlaku ke atas pesalah juvana.
Ahed Tamimi, 17 tahun, ditahan selepas rakaman video beliau menampar tentera Israel di luar rumahnya pada 15 Disember lalu menjadi viral.
Remaja terbabit dianggap sebagai wira oleh rakyat Palestin kerana berani bertindak ke atas rejim anggota zionis itu.
Bagi mereka, Tamimi adalah ikon nasional dan diangggap sebagai simbol penentangan ke atas pendudukan Israel.
Dua tahun lalu, video dia menggigit tangan tentera turut viral, yang membuatnya dipuji oleh pemimpin Turki, Recep Tayyip Erdogan.
Sementara itu, penggiat hak asasi dunia menyatakan sistem perundangan Israel tidak mempunyai peruntukan untuk melindungi pesalah di bawah umur selain tiada jaminan proses perbicaraan yang adil.
#Ahed Tamimi #penampar #perbicaraan #tentera Israel
;