Taman hijau baharu di Bangkok beri nafas segar dambaan warganya
Astro Awani
Jun 21, 2022 10:00 MYT
Jun 21, 2022 10:00 MYT
BANGKOK: Pokok menghijau, kolam tenang, landskap indah dan unggas berterbangan bebas... semua itu menjadi idaman warga bandar raya Bangkok yang selama ini rimas dengan suhu panas, kesesakan jalan raya serta hutan konkrit.
Keinginan untuk memiliki taman di tengah kota terjawab apabila Taman Rimba Benjakitti kini dibuka untuk dikunjungi rakyat di ibu negara Thailand itu.
AP melaporkan, pembinaan taman yang redup dan menyejukkan mata itu adalah sebahagian daripada usaha menghijaukan Bangkok, seterusnya menjadi kota itu lebih nyaman didiami menjelang tahun 2030.
Sebuah lagi taman dengan tasik buatan pernah dibina bersebelahan tapak berkenaan sekitar tahun 1990-an, namun taman baharu seluas 41 hektar itu telah mencerminkan visi dan masa depan kota yang berpopulasi padat tersebut.
Pada hujung minggu, kira-kira 12,000 orang menggunakan laluan alam, denai dan lorong berbasikal di taman itu, sambil mengambil gambar ntuk dimuat naik ke laman sosial masing-masing.
Bekas tapak kilang tembakau, Thailand Tobacco Monopoly itu menjalani fasa perubahan sejak beberapa tahun lalu dan kini pengunjung sudah mula mendatanginya menjelang pembukaan rasmi Ogos nanti.
“Saya sukakannya. Saya gemar aktiviti luar dan udara segar. Bangkok tidak memiliki banyak taman yang luas. Saya gembira kita sudah ada ruang yang indah ini,” kata guru muzik, Luckachai Krichnoi, 44, yang kurang menggemari hawa dingin dalam bangunan mahupun kompleks beli-belah.
Rekaan landskap Taman Rimba Benjakitti menggabungkan elemen lama dan moden. Arkiteknya mengekalkan lebih daripada 1,700 batang pokok asal dan menanam lagi 7,000 pokok lain. Apabila pokok-pokok itu semakin membesar, semakin luas kawasan redup yang dimahukan.
Taman itu turut menjadi tumouan para pencinta alam sekitar, peminat burung dan jurugambar.
“Cara taman ini direka sangat istimewa kerana terdapat pelbagai jenis pokok. Burung-burung akan datang apabila sumber makanan sudah tersedia,” ujar Somsak Jaitrong, yang mengunjungi taman itu hampir setiap hari.
Elemen air pula memainkan peranan penting. Beberapa kolam dan pulau buatan menghasilkan persekitaran yang mesra alam sekali gus menjasi sistem saringan dari sunber pelepasan air komuniti di sekelilingnya.