Taliban tidak akan dapat akses dana ASD9 bilion bank pusat Afghanistan - AS

Astro Awani
Oktober 20, 2021 11:45 MYT
Kumpulan Taliban tidak dibenarkan akses terhadap dana simpanan negara itu yang berada di Amerika Syarikat, kata Washington.
KEPIMPINAN baharu Afghanistan, Taliban tidak akan dibenarkan akses terhadap rizab bank pusat Afghanistan yang sebahagian besarnya berada di Amerika Syarikat (AS).
Timbalan Setiausaha Perbendaharaan AS, Wally Adeyemo berkata, pihaknya percaya adalah penting untuk mengekalkan sekatan terhadap Taliban namun dalam masa sama mencari jalan untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan yang sah kepada rakyat Afghanistan.
Adeyemo berkata demikian kepada Jawatankuasa Perbankan Senat pada Selasa.
Taliban telah meminta AS untuk memansuhkan sekatan terhadap lebih AS$9 bilion simpanan bank pusat Afghanistan yang berada di luar negara ketika kerajaan sedang berjuang mengatasi krisis ekonomi yang semakin serius.
Taliban mengambil alih kuasa di Afghanistan pada Ogos setelah AS mengundurkan tenteranya, hampir 20 tahun setelah kumpulan itu digulingkan pasukan yang diketuai AS, susulan tragedi serangan 11 Sept 2001.
Washington dan negara-negara Barat lain bergelut dengan pilihan yang sukar kerana krisis kemanusiaan yang teruk muncul di Afghanistan.
Mereka berusaha mencari cara untuk berinteraksi dengan Taliban tanpa memberi mereka legitimasi, sambil memastikan bantuan kemanusiaan disalurkan ke negara itu.
"Matlamat kami adalah untuk memastikan rejim sekatan dilaksanakan terhadap Taliban dan jaringan Haqqani, tetapi pada masa sama, aliran bantuan kemanusiaan ke negara itu dapat diteruskan," kata Adeyemo.
Adeyemo berkata, Perbendaharaan AS mengambil setiap langkah untuk menjelaskan kepada kumpulan kemanusiaan bahawa Washington ingin menyalurkan bantuan kepada rakyat Afghanistan, tetapi memberi amaran, bagi merealisasikannya, Taliban harus memberi kebenaran.
Perbendaharaan bulan lalu membuka jalan untuk bantuan masuk ke Afghanistan walaupun terdapat sekatan AS terhadap Taliban ketika pihaknya mengeluarkan dua lesen umum.
#Afghanistan #Amerika Syarikat #Taliban #rizab bank pusat Afghanistan
;