Taliban serang penjara Afghanistan, ratusan banduan lolos

Reuters
September 14, 2015 13:39 MYT
352 banduan telah terlepas lari dengan 150 daripadanya adalah anggota Taliban. - Foto AP
Ratusan banduan di penjara Ghazni ke tengah Afghanistan berjaya meloloskan diri selepas sekumpulan anggota Taliban bertindak nekad menyerbu dan menyerang penjara terbabit.
Seorang wartawan Reuters turut berkata melihat dua mayat bergelimpangan dipercayai pengebom nekad dan rangka kereta terbakar yang dipercayai digunakan untuk memecah pintu masuk ke penjara itu.
Hampir kesemua banduan berjaya melepaskan diri kata polis.
Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid berkata anggota bersenjatanya bersama tiga pengebom nekad menyerang penjara itu sekitar jam 2 pagi ini waktu tempatan dan membebaskan 400 banduan. Ketiga-tiga pengebom terbunuh dalam serangan itu.
“40 anggota tentera Afghanistan bersama pengawal penjara terbunuh dalam pencerobohan itu dan ramai pegawai kanan mujahid telah dibebaskan,” katanya.
Pihak Taliban sememangnya sering menokok tambah jumlah kematian dalam kenyataan mereka berkaitan serangan dan sasaran kepentingan asing.
Dalam pada itu gabenor bandar Ghazni, Mohammed Ali Ahmadi mendedahkan 352 banduan telah terlepas lari dengan 150 daripadanya adalah anggota Taliban. Katanya, tujuh anggota Taliban dan empat anggota tentera terbunuh di bandar yang terletak 120 ke baratdaya Kabul.
Jurucakap keselamatan penjara memaklumkan, penyerang memakai pakaian seragam tentera.
Taliban antara lain berusaha menjatuhkan pemerintahan Presiden Ashraf Ghani, menghalau tentera asing dan melakasanakan pemerintahan yang dikatakan berbentuk Islam.
#Afghanistan #banduan #penjara #Taliban
;