Taliban lepaskan tembakan amaran di lapangan terbang

Khairunnisa Kasnoon
Ogos 19, 2021 04:00 MYT
Taliban mengepung pusat pemeriksaan dan lapangan terbang pada Rabu, bagi menghalang rakyat Afghanistan menyerbu ke lapangan terbang. - Foto fail/REUTERS
KABUL: Ratusan warga Afghanistan yang tidak mempunyai dokumen atau yang dijanji penerbangan terus berkumpul di lapangan terbang Kabul pada Rabu malam.
Orang ramai yang ditahan di kawasan luar lapangan terbang, meluru ke depan setiap kali pasukan Taliban membuka pintu gerbang, mendorong tembakan amaran dilepaskan supaya mereka berpatah balik.
Taliban mengepung pusat pemeriksaan dan lapangan terbang pada Rabu, bagi menghalang rakyat Afghanistan menyerbu ke lapangan terbang.
Warga Afghanistan dilaporkan takut dengan kekejaman yang akan dilakukan pihak Taliban yang kembali berkuasa setelah berjaya menguasai Kabul pada 15 Ogos 2021 lalu.
Amerika Syarikat pula merancang untuk menempatkan semula ribuan rakyat Afghanistan dengan kira-kira 88,000 orang kini sedang diproses untuk Visa Imigran Khas.
Kebanyakan mereka yang mendapat visa ini dikatakan individu dan ahli keluarga yang telah membantu Amerika Syarikat semasa pendudukan mereka di sana.
Dalam pada itu, Pentagon pada Rabu memaklumkan, pegawai kanan tentera Amerika Syarikat, termasuk Laksamana Muda Tentera Laut Peter Vasely, sedang berbincang dengan komandan Taliban di Kabul mengenai pusat pemeriksaan dan perintah berkurung Taliban yang menghadkan jumlah kemasukan warga Amerika Syarikat dan Afghanistan ke lapangan terbang.
Presiden Joe Biden minggu ini menegaskan beliau kekal dengan pendiriannya untuk mengundurkan tentera Amerika Syarikat dari Afghanistan dan menolak kritikan mengenai keputusan tersebut.
Biden berkata, misi Amerika Syarikat bukan membangunkan negara itu dan beliau menyalahkan Taliban kerana mengambil alih negara itu.
#Afghanistan #Amerika Syarikat #Joe Biden #penerbangan #perintah berkurung #Taliban #tembakan
;