Taliban berkas aktivis terkenal perjuang hak gadis dapat akses pendidikan

Bernama
Mac 29, 2023 00:20 MYT
Kanak-kanak perempuan menghadiri hari pertama sesi persekolahan di Kabul, Afghanistan, 25 Mac 2023. - Foto AP
MOSCOW: Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Afghanistan (UNAMA) pada Selasa memaklumkan bahawa pergerakan Taliban telah menahan seorang aktivis terkemuka yang memperjuangkan hak kanak-kanak perempuan mendapat akses pendidikan.
"Matiullah Wesa, ketua @PenPath1 (masyarakat sivil) dan peguam bela untuk pendidikan kanak-kanak perempuan, telah ditahan di #Kabul pada Isnin.
"UNAMA menyeru pihak berkuasa de facto untuk mendedahkan keberadaannya, sebab penahanannya dan memastikan aksesnya kepada undang-undang dan keluarga," menurut UNAMA menerusi ciapan di Twitter.
Selepas Taliban kembali berkuasa di Afghanistan pada 2021, ia mengarahkan semua pertubuhan bukan kerajaan tempatan dan antarabangsa menggantung perkhidmatan pekerja wanita mereka.
Taliban menghalang wanita dan kanak-kanak perempuan daripada menghadiri sesi persekolahan dan pengajian di peringkat menengah dan universiti.
Keputusan pihak berkuasa Afghanistan telah dikritik keras oleh organisasi antarabangsa dan pemimpin global.
Menurut laporan UNICEF yang dikeluarkan Ogos lalu, hakikat bahawa gadis di Afghanistan dihalang mendapat akses pendidikan telah menyebabkan kerugian kepada ekonomi negara sekurang-kurangnya AS$500 juta sejak larangan itu diperkenalkan, iaitu bersamaan 2.5 peratus daripada KDNK.
--BERNAMA
#pendidikan #hak kanak-kanak perempuan #Taliban tahan aktivis #Matiullah Wesa