Talian komunikasi terputus, rakyat Gaza umpama menunggu "hukuman mati"
Bernama
November 14, 2023 16:33 MYT
November 14, 2023 16:33 MYT
BANDARAYA GAZA: Seluruh Semenanjung Gaza umpama menunggu "hukuman mati" sejak talian komunikasi terputus yang menyukarkan untuk menghubungi ambulans dan pasukan kecemasan, menurut Pejabat Media Gaza pada Selasa.
Israel memutuskan semua bentuk komunikasi di Gaza selama 36 jam berturut-turut sejak 27 Okt sebelum menyambungkannya semula.
Pejabat media itu dalam kenyataannya turut memberi amaran tentang kesan serius pemotongan talian komunikasi dan Internet di Gaza dan mengatakan tindakan itu dibuat untuk menyembunyikan semua jenayah perang yang dilakukan oleh tentera penceroboh Israel, lapor Agensi Anadolu.
Lebih 2.3 juta penduduk di Semenanjung Gaza tidak dapat berkomunikasi dengan pasukan penyelamat, kecemasan, bantuan, perubatan, pertahanan awam dan perbandaran serta semua institusi kerajaan dan bukan kerajaan.
Pejabat media juga mengesahkan mereka juga tidak dapat berkomunikasi antara satu sama lain yang membawa kepada penutupan sepenuhnya perhubungan di Gaza.
Tindakan berkenaan merupakan jenayah baharu yang melanggar hak paling asas yang ditetapkan dalam norma antarabangsa, menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA