Takut korona? Donald Trump kata ikut macam dia
Razak Chik
Februari 27, 2020 22:36 MYT
Februari 27, 2020 22:36 MYT
AMERIKA kurang terkesan dari ancaman COVID-19 tetapi kini mula mengumumkan pelan mencegah agar keadaan tidak menjadi parah.
Presidennya Donald Trump yang selama ini kurang bersuara tentang penularan wabak selesema satu dunia itu tiba-tiba muncul untuk membuat kenyataan di White House pada Rabu.
Dan nasihat utama dari Presiden Amerika untuk mengelak dari terkena jangkitan COVID-19 mudah sahaja – kerap basuh tangan, satu tabiat dirinya yang terkenal sebagai seorang yang fobia kuman (germaphobe).
Trump yang baru pulang dari lawatan dua hari ke India turut mengumumkan pelantikan Naib Presiden Mike Pence untuk mengepalai usaha menangani cabaran akibat penularan COVID-19.
Setakat ini, terdapat 15 kes COVID-19 di Amerika Syarikat, tidak termasuk tiga kes pesakit yang pulang dari kota Wuhan di China dan 42 penumpang kapal Diamond Princess yang sedang menjalani kuarantin.
Pulang dari lawatan dua hari ke India, Presiden Trump membuat pengumuman; “Kalangan kumpulan 15, lapan sudah dibenarkan pulang dan berihat sehingga pulih sepenuhnya, seorang masih di hospital, lima sudah pulih dan seorang lagi nampak segar dan sihat.”
Sidang media itu juga digunakan Trump menepis reaksi negatif terhadapnya ekoran tuduhan media sengaja memperbesar ancaman penularan wabak selesema hingga menjejas kecergasan ekonomi.
Trump bercanggah pendapat dengan pakar kesihatan awam yang pernah memberi amaran penularan COVID-19 hanya menanti masa sebelum menjadi masalah kepada Amerika.
Dengan semangat optimisnya yang biasa ketara, Trump mendabik dada mengumum; “Amerika kukuh gagah (USA is in great shape)” katanya.
Namun Trump mengakui Amerika perlu meletak negara dalam keadaan siap siaga sekiranya COVID-19 terus tular menular.
“Setiap aspek masyarakat Amerika perlu bersedia,” katanya.
Trump memuji dirinya kerana bertindak menyekat beberapa perjalanan penerbangan dari destinasi luar negara yang menghadapi ancaman COVID-19.
Beliau mengambil kredit atas tindakan mengenakan sekatan kemasukkan pelawat dari kawasan tertentu, menyifatkannya sebagai tindakan bijak.
“Jika tidak kita sudah tentu akan bercakap tentang kadar penularan yang tinggi,” katanya.
Namun Trump nampak lebih berlembut apabila menangani isu penularan yang sedang mendadak di Korea Selatan dan Itali.
Berbeza dengan tindakannya terhadap China, Trump mengambil pendirian sekarang bukan masanya untuk menyekat perjalanan bebas antara kedua dua negara itu dengan Amerika.
Tambah Trump, White House tidak berduduk diam dan sudah bertindak menggerakkan pelan lima penjuru menyekat kemaraan COVID-19.
Ini termasuk pengesanan penyakit, koordinasi peringkat tempatan, penghasilan ubatan dan peningkatan bekalan peralatan seperti topeng dan pakaian keselamatan.