Tak tahan pengap, lelaki buka pintu kecemasan pesawat untuk ambil angin

Agensi
Mei 2, 2018 02:46 MYT
Kejadian yang berlaku di Lapangan Terbang Mianyang Nanjiao turut menyebabkan pintu kecemasan dan laluan kecemasan dibuka. -Foto South China Morning Post
GARA-GARA tidak tahan keadaan sesak dan pengap di dalam kapal terbang ketika menunggu giliran untuk berlepas, seorang lelaki di China bertindak membuka ‘tingkap’ pesawat untuk mengambil angin.
Namun, 'tingkap' yang dibuka lelaki itu sebenarnya ialah pintu kecemasan kapal terbang berkenaan.
Kejadian yang berlaku di Lapangan Terbang Mianyang Nanjiao turut menyebabkan pintu kecemasan dan laluan kecemasan dibuka, lapor South China Morning Post.
Susulan kejadian, lelaki itu ditahan polis selama 15 hari kerana menyalahgunakan kemudahan penerbangan
Ketika ditahan, lelaki berusia 25 tahun itu yang dikenali dengan nama Chen memberitahu polis yang dia tidak tahu bahawa itu ialah pintu kecemasan.
Chen didenda AS$11,000 (RM43,191.50) atas perbuatannya itu.
Kejadian hampir sama pernah berlaku di lapangan terbang China pada April 2016 di mana seorang lelaki berusia 30 tahun telah membuka pintu kecemasan untuk mengambil angin walaupun dilarang kru penerbangan.
Lelaki itu ditahan dan didenda AS$78.95 (kira-kira RM310).
#Chen #China #kapal terbang #Lapangan Terbang Mianyang Nanjiao #penerbangan #pintu kecemasan #tingkap