Tak sangka akhirnya bebas selepas 8 tahun dipenjara

Astro Awani
November 24, 2023 07:40 MYT
Marah Bkeer dilihat memeluk ahli keluarganya selepas dibebaskan dari penjara Israel. - Foto REUTERS
JERUSALEM: Selepas lapan tahun dalam penjara, tahanan Palestin berusia 24 tahun, Marah Bkeer akhirnya menjadi tahanan pertama yang dibebaskan di bawah perjanjian gencatan senjata Israel-Hamas.
Tidak dapat menahan sebak, ibu kepada Bkeer, Sawsan terus memeluk anak perempuannya yang ditawan pada usia 16 tahun.
Marah berkata sebaik serangan Hamas pada 7 Oktober, dia telah diasingkan dari banduan lain dan dipenjarakan sendirian.
Dia terkejut apabila akhirnya mengetahui tentang perjanjian pertukaran tahanan berkenaan.
"Isu dikurung bersendirian adalah perkara yang besar, terutamanya (pihak berkuasa penjara) memisahkan saya daripada gadis lain di sel, dan saya tidak tahu apa yang berlaku di sel kami, terutamanya sebagai tahanan wanita Palestin.
"Tetapi pada masa yang sama apabila orang itu beriman kepada Allah, semuanya menjadi lebih mudah, dan Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.
"Berita mengenai perjanjian itu benar-benar mengejutkan kami, memang benar bahawa perjanjian sudah dijangka, tetapi tidak dalam keadaan sedemikian, dan saya tidak tahu apa-apa tentang apa yang berlaku di luar, tentang apa yang berlaku di Gaza," katanya.
Marah adalah antara yang tahanan pertama dibebaskan dari penjara Israel bersama 39 banduan lain yang merupakan 24 wanita dan 15 remaja lelaki.
Pembebasan itu dipersetujui sebagai antara syarat di bawah perjanjian gencatan senjata Israel-Hamas selama empat hari.
#Tahanan #penjara #Marah Bkeer #gencatan senjata
;