Tak perlu kasihan, ia pengalaman pelayaran terbaik - Penumpang MS Westerdam

Agensi
Februari 15, 2020 18:08 MYT
Penumpang MS Westerdam anggap pelayaran itu sebagai 'baik-baik sahaja'. - Reuters
BIARPUN terpaksa belayar selama dua minggu mencari pelabuhan, penumpang kapal persiaran MS Westerdam tidak menganggap pengalaman itu sebagai buruk.
"Semua orang bersimpati dengan kami. 'Kasihan penumpang', kata mereka. Tetapi tiada apa yang perlu dikasihankan.
"Kami dapat Wifi percuma dan wain percuma. Kami makan tiga hidangan setiap hari dengan pelbagai pilihan," kata Zahra Jennings, seorang pesara jururawat dari Britain, kepada Reuters.
"Ini adalah pengalaman pelayaran terbaik saya. Biasanya anda membeli tiket kapal persiaran dan anda tahu destinasi anda. Tetapi kali ini benar-benar satu pengembaraan," kata pesara jurutera aeroangkasa dari Kanada, Pierre Ashby.
"Semuanya baik-baik sahaja, kecuali mereka kehabisan kentang goreng dan sos tomato," seloroh Robert Sayers, pekerja syarikat kimia dari New Zealand.
Kapal persiaran yang membawa 1,544 penumpang dan 802 anak kapal itu memulakan pelayaran pada 16 Januari dari Singapura, sepatutnya singgah di Jepun, Taiwan, Guam, Filipina dan Thailand.
Kapal itu bagaimanapun tidak diberi kebenaran berbuat demikian selepas singgah di Hong Kong pada 31 Januari lalu, susulan kebimbangan wabak COVID-19.
MS Westerdam akhirnya diterima berlabuh di Kemboja, dengan kesemua penumpang disahkan bebas virus tersebut.
Syarikat pengendali MS Westerdam, Holland America telah memaklumkan penumpang bahawa pihak syarikat akan membayar balik kos pelayaran, selain memberikan pelayaran 14 hari percuma, dan menanggung kos penerbangan pulang penumpang.
BACA: Terima kasih negara yang cantik - Trump puji Kemboja kerana terima kapal MS Westerdam
#Britain #COVID-19 #Filipina #Hong Kong #Jepun #kapal persiaran #MS Westerdam #New Zealand #Singapura #Taiwan #Thailand
;