Tak pakai baju, tiada lesen, Bali bakal kuat kuasa larangan pelancong sewa motosikal
Agensi
Mac 18, 2023 15:34 MYT
Mac 18, 2023 15:34 MYT
PULAU peranginan terkenal dunia, Bali akan menguatkuasakan undang-undang melarang pelancong menyewa motosikal di pulau berkenaan.
Peraturan baharu itu adalah sebahagian daripada tindakan tegas terhadap tingkah laku menjengkelkan pelancong di jalan raya termasuk melakukan banyak kesalahan lalu lintas.
Gabenor Bali Wayan Koster, berkata pelawat sebaliknya akan digalakkan untuk menyewa kereta melalui ejen pelancongan yang sah.
"Sebagai pelancong, anda harus bertindak sebagai pelancong.
“Ini bermakna mereka perlu menggunakan kenderaan yang disediakan oleh ejen pelancongan, bukannya berkeliaran dengan motosikal, tanpa memakai baju-T dan pakaian, tanpa topi keledar, melanggar peraturan lalu lintas dan juga menunggang tanpa lesen," katanya sepertimana dilapor media tempatan.
Kira-kira 6.2 juta pelancong melawat Bali pada 2019, termasuk 1.2 juta warga Australia.
Ramai pelancong gemar menggunakan motosikal untuk meneroka pulau itu.
Ekonomi Bali sangat bergantung kepada pelancong, dengan industri itu menyumbang sekitar 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar tahunan pulau itu, namun ia terjejas teruk akibat COVID-19.
Selepas sekatan perjalanan antarabangsa dilonggarkan sebelum ini, Bali menerima kemasukan pelancong semula dan kerajaan tempatan mahu sektor itu diperkemaskan bagi mengawal tingkah laku pelawat.
Media tempatan melaporkan, peraturan itu dijangka dilaksanakan pada hujung tahun ini, namun kerajaan belum mendedahkan bagaimana ia akan dikuatkuasakan.