Tak padan tua! Lelaki warga emas rogol dua anak saudara bawah umur ditahan
Astro Awani
April 17, 2022 12:00 MYT
April 17, 2022 12:00 MYT
BANGKOK: Seorang lelaki berusia 60 tahun yang didakwa merogol dua anak saudaranya selama lebih empat tahun dilapor ditahan di daerah Phra Pradaeng, Thailand.
Polis menahan suspek yang hanya dikenali sebagai Paiboon di sebuah rumah di tambon Bang Yor pada Jumaat selepas nenek kepada dua remaja terbabit, Som membuat laporan di Balai Polis Phra Pradaeng.
Memetik Bangkok Post, ketika disoal siasat, suspek mengaku telah merogol dua anak saudaranya berusia 13 dan 16 tahun, yang tinggal di rumah Som.
Dakwa Paiboon, dia berada dalam keadaan mabuk dan ia membangkitkan keinginan seksualnya.
Dia kemudian merogol anak saudara sulungnya dan terus menderanya secara seksual berkali-kali.
Paiboon juga mengaku pernah melakukan penderaan seksual terhadap anak saudara perempuan bongsunya antara lima hingga enam kali.
Mangsa iaitu cucu sulung Som memberitahu bahawa telah didera secara seksual sejak dia bersekolah di Darjah 6, dan insiden terbaharu didakwa berlaku pada Rabu lalu.
Sementara itu, cucu bongsu Som turut mengakui didera secara seksual oleh bapa saudaranya.
Lapor Bangkok Post lagi, Som yang menjaga mangsa akan berjuang habis-habisan untuk membawa lelaki itu ke muka pengadilan, selain tidak menyangka gadis-gadis itu akan dirogol oleh orang yang rapat dengan mereka.
Ibu kanak-kanak perempuan itu telah meninggal dunia bertahun-tahun yang lalu, manakala bapa mereka meninggalkan rumah selepas kematian isterinya.
Dalam pada itu, seorang ibu saudara mangsa berkata dia terkejut apabila mengetahui Paiboon telah merogol anak saudaranya.
Menurut wanita yang enggan identitinya didedahkan itu, suspek bekerja di sebuah kapal nelayan tidak pernah tinggal serumah dengan mangsa dan sering membawa anak saudara sulung ke kapalnya apabila berjumpa masyarakat.
Dia juga mendakwa melihat suspek memberi wang dan membelikan hadiah kepada mangsa dan tidak pernah menyangka lelaki itu akan mendera mereka secara seksual.
Suspek didakwa merogol kanak-kanak bawah 16 tahun yang bukan isterinya, dan penderaan seksual terhadap kanak-kanak bawah 13 tahun.
Suspek ditahan dalam tahanan polis untuk tindakan undang-undang, manakala mangsa dibawa ke rumah kebajikan kanak-kanak di Samut Prakan.