Tak mampu beli, kanak-kanak Afghan pakai 'jersi Messi' beg plastik
Kohilah Sekaran
Januari 27, 2016 15:00 MYT
Januari 27, 2016 15:00 MYT
VIRAL di media sosial rakaman gambar seorang kanak-kanak lelaki yang memakai baju ala-ala jersi bintang bolasepak Argentina, Lionel Messi yang diperbuat daripada beg plastik.
Memetik laporan NDTV, kanak-kanak itu dikenali sebagai Murtaza Ahmadi dan berasal dari wilayah Ghazni, Afghanistan.
Dia dikatakan seorang peminat setia Messi.
Murtaza yang berusia lima tahun itu digambarkan memakai baju berjalur biru dan putih yang diperbuat daripada beg plastik dengan nama serta nombor Messi tertera di belakang 'jersi' berkenaan.
Menurut BCC Trending pula, bapa saudara Murtaza, Azam Ahmadi, yang menetap di Australia mendakwa kanak-kanak itu merupakan anak saudaranya yang tinggal di kawasan luar bandar di daerah Jaghori di wilayah Ghazni.
Azim turut menghubungi bapa kanak-kanak berkenaan, Arif, yang kemudiannya mengesahkan bahawa Murtaza adalah kanak-kanak yang sedang dicari oleh netizen di media sosial.
Reka jersi kerana tidak mampu untuk membeli
Menurut Arif, mereka tidak mampu untuk membeli sehelai jersi pasukan Argentina bagi Murtaza, maka dia bertindak untuk membuat sendiri jersi tersebut dengan menggunakan beg plastik.
“Murtaza benar-benar meminati Messi dan bola sepak.
“Saya hanya seorang petani. Tidak mungkin saya dapat membeli jersi Argentina bagi Murtaza, saya tidak mampu.
“Oleh itu, dia membuat keputusan untuk mereka jersi sendiri dengan menggunakan beg plastik," kata Arif seperti yang dipetik NDTV.
Tambah Arif, Murtaza memberitahu dia berharap agar dapat berjumpa idolanya itu suatu hari nanti.
Malah, dia juga berhasrat untuk menjadi seorang pemain bola sepak yang terkenal seperti lagenda Barcelona itu.