Tak mampu bayar bil hospital, penunggang e-hailing nekad bawa lari jenazah bayi
Nailah Huda
November 22, 2019 09:57 MYT
November 22, 2019 09:57 MYT
JENAZAH seorang bayi dibawa lari dari sebuah hospital oleh sekumpulan penunggang perkhidmatan motosikal e-hailing dalam kejadian pada Selasa.
Tindakan itu didakwa dilakukan ekoran berang dengan langkah pihak hospital yang didakwa sengaja melengah-lengahkan pengurusan mayat seorang anak kepada rakan mereka.
Seorang penunggang e-hailing motosikal terlibat mempertahankan tindakan kumpulan itu membawa lari jenazah anak rakan mereka dari Rumah Sakit Dr Muhammad Djamil Padang, Indonesia.
“Kami mengambil tindakan apabila dapat tahu keluarganya tidak boleh mengebumikan anak mereka kerana tidak mampu bayar bil hospital sebanyak 25 juta rupiah (kira-kira RM7,400),” kata Wardiansyah kepada BBC Indonesia.
Beliau yang menggambarkan tindakan itu sebagai satu “misi kemanusiaan” nekad dengan usaha mereka biarpun berdepan halangan daripada pihak hospital.
“Pegawai-pegawai keselamatan cuba menghentikan kami, namun mereka berputus asa apabila mereka lihat jumlah penunggang motosikal yang terlalu ramai,” jelas beliau.
Baru-baru ini tular rakaman video yang menunjukkan puluhan penunggang motosikal syarikat e-hailing yang membawa keluar jenazah Alif Putr dari hospital tersebut.
Insiden ini mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat berhubung kewajaran tindakan yang dilakukan itu ketika ibu bapa atau penjaga berdepan masalah membayar bil hospital anak mereka.
Tular sebelum ini beberapa laporan yang mendakwa hospital dan klinik di Indonesia tidak membenarkan bayi yang baru lahir dilepaskan sehinggalah bil rawatan dibayar sepenuhnya.
Jelas ibu kepada bayi tersebut, Dewi Surya, keluarganya dalam proses mendaftar skim penjagaan kesihatan apabila Alif Putr mula jatuh sakit.
Alif menjalani pembedahan namun meninggal dunia pada pagi Selasa.
“Hospital itu desak kami untuk bayar bil. Proses dokumentasi pula mengambil masa lama,” kata Dewi.
“Kumpulan penunggang motosikal naik marah, lalu bawa keluar Alif secara paksa sebab kasihan jenazah yang tunggu lama dalam rumah mayat,” katanya lagi.
Pengarah hospital Yusirwan Yusuf walau bagaimanapun menjelaskan bil tertunggak itu sudah dibayar oleh lembaga hospital dan menggambarkan insiden itu sebagai salah faham.
“Hospital kami hanya mendapat tahu tentang keadaan keluarga itu apabila mereka memfailkan aduan bersama pegawai kami,” kata Yusirwan.
“Kami merupakan hospital awam dan tidak pernah sekali pun bertanya kepada pesakit sama ada mereka mampu membayar untuk rawatan.”
Namun, beliau turut mengkritik tindakan yang diambil oleh kumpulan penunggang e-hailing itu yang dilakukan secara “bahaya dan semberono”.
“Kami mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan ia dilanggar. Itu sangat keterlaluan.
"Bagaimana jika jenazah itu mempunyai penyakit berjangkit? Siapa yang akan bertanggungjawab?” soal beliau.
Seorang wakil daripada kumpulan penunggang motosikal itu kemudian memohon maaf daripada pihak pengurusan hospital atas tindakan mereka.
“Saya, mewakili rakan setugas saya, minta maaf atas insiden itu dan kami berhasrat untuk membersihkan nama hospital ini.
"Kami tidak tahu tentang prosedur itu. Ia mengambil masa yang terlalu lama, kerana itu kami mengambil tindakan,” jelasnya.