Tak buang pekerja walaupun terjejas akibat COVID-19, pengorbanan majikan akhirnya berbaloi
Agensi
Ogos 22, 2020 16:01 MYT
Ogos 22, 2020 16:01 MYT
KEPUTUSAN pengasas Gravity Payments, Dan Price, untuk menjaga semua pekerjanya dengan tidak membuang walau seorang pun daripada mereka sepanjang berdepan pandemik COVID-19, akhirnya membuahkan hasil.
Lima bulan selepas syarikay perkhidmatan kewangan dan pemprosesan bayaran kad kredit itu mencatatkan kerugian, ia kini mula menunjukkan peningkatan prestasi.
Meskipun masih mengalami kerugian sekitar 20 peratus, namun ia jauh lebih baik daripada penurunan 55 peratus dialami pada Mac lalu.
“Keadaan ini sangat teruk, sama teruknya ketika kemelesetan ekonomi yang berlaku sebelum ini, seperti yang kami jangka. Tapi ia membolehkan kami mencapai tahap yang lebih baik selepas semuanya berlaku,” kata Price dalam temu bual bersama Idaho Statesman.
Terkesan teruk akibat COVID-19, Price bertindak membuat perjumpaan dengan 185 pekerjanya termasuk 50 orang di Boise bagi menjelaskan keadaan syarikat.
Menariknya, hampir setiap pekerja bersetuju, dengan sukarela menerima potongan gaji antara 5 peratus dan 100 peratus.
Price mengambil pendekatan berbeza daripada pesaingnya - ada yang memberhentikan sehingga 1,300 pekerja pada April.
“Sepanjang 16 tahun syarikat ini beroperasi, ia tidak pernah memberhentikan mana-mana pekerja. Saya tidak mahu lakukan perkara itu kali ini,” ujar Price lagi.
Gravity mendapat liputan meluas pada 2015 apabila Price mengumumkan setiap pekerjanya akan dibayar minimum AS$70,000 setahun (purata AS$5,833 sebulan).
Menurut Price, dia berasakan memberhentikan pekerja yang banyak menolong syarikat berkembang seolah-olah mengkhianati komitmen yang diberikan mereka selama ini.
Malah, dia juga tidak meningkatkan caj kepada pelanggannya seramai 20,000 orang dan mengekalkannya pada kadar AS$100.
“Itu akan memberi tambahan AS$2 juta sebulan (dengan kenakan caj tambahan) yang dapat menyelesaikan krisis kewangan kita.
“Kakitangan kami sebulat suara menolak idea itu dan mengatakan bahawa mereka lebih rela merasakan kesakitan itu sendiri daripada tindakan mereka memberi kesan kepada syarikat pada masa depan,” ujarnya.
Kedua-dua ibu pejabat Gravity di Seattle dan pejabat cawangan di Boise setakat itu masih ditutup dan pekerja bekerja dari rumah sejak Mac lepas.
Jumlah pelanggan Gravity kini juga semakin meningkat dan pada Julai 2020, jumlahnya 31 peratus lebih tinggi daridapa tempoh sama pada tahun lepas.
Situasi itu memberi harapan kepada Price dan dia berharap syarikat itu akan mencatatkan peningkatan pada bulan-bulan akan datang.
Sebelum pandemik, Price menyimpan wang tunai untuk membantu syarikat berdepan dengan saat tidak terduga seperti pandemik berkenaan.
Gravity juga mendapat bantuan daripada kerajaan melalui Program Perlindungan Gaji Persekutuan.
“Itu membantu kami menampung gaji pekerja,” ujarnya.
Selepas berbulan bekerja dengan dipotong gaji, pekerja Gravity akhirnya mendapat gaji penuh bermula Julai lepas.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#2015
#AS
#COVID-19
#ekonomi
#gaji
#Gravity Payments
#kerajaan
#koronavirus
#pandemik
#Pekerja
#potongan gaji
#rumah
#shm
#weekender