Taiwan pertimbang rekaan baharu pasport, bosan dianggap sebahagian dari China
Agensi
September 2, 2020 21:49 MYT
September 2, 2020 21:49 MYT
Bosan sering disalah tafsir sebagai sebahagian daripada China, Taiwan pada hari Rabu mengumumkan akan membuat rekaan baharu bagi pasportnya.
Warga Taiwan mengalami masalah untuk memasuki negara lain kerana pasport Taiwan ditulis dengan perkataan "Republik China" dalam huruf besar di bahagian atas, manakala nama "Taiwan" dicetak di bahagian bawah.
Pasport baharu, yang akan mulai diedarkan pada bulan Januari depan, akan membuang ayat "Republik China", namun mengekalkannya dalam huruf Cina, manakala nama "Taiwan" akan diperbesarkan.
Menteri Luar Taiwan, Joseph Wu memaklumkan pasport baharu itu diperlukan untuk mengelakkan warganya disalah anggap sebagai rakyat China, terutama ketika pemeriksaan di pintu masuk banyak negara semakin ketat susulan wabak COVID-19.
China mendakwa Taiwan sebagai wilayahnya yang berdaulat dan menegaskan hanya mereka yang berhak bercakap bagi negara pulau itu di peringkat antarabangsa, suatu keadaan yang nampak ketara ketika pandemik melanda, terutama di peringkat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Taipei mendakwa situasi ini menyebabkan banyak negara tidak pasti tentang status rakyat Taiwan dan mendorong mereka untuk mengenakan sekatan yang sama pada pelancong Taiwan seperti yang dilakukan terhadap warga China.
Taiwan telah sekian lama berdebat tentang status dan hubungan mereka dengan China dan wabak ini telah membuatkan isu ini kembali hangat.
Kerajaan Taiwan juga dilaporkan sedang mempertimbangkan pertukaran nama dan menghasilkan reka bentuk baru untuk syarikat penerbangan terbesar Taiwan, China Airlines, juga untuk mengelakkan kekeliruan dengan China.
#China
#COVID-19
#kerajaan
#kesihatan
#koronavirus
#pandemik
#pasport
#pelancong
#Pertubuhan Kesihatan Sedunia
#Taiwan