Taiwan mahu perkukuh kerjasama dengan EU

Bernama
Disember 20, 2022 18:54 MYT
Taiwan berusaha untuk membentuk pakatan demokratik yang berdaya tahan dengan Kesatuan Eropah (EU) selain memperkukuh hubungan ekonomi, kata Presiden Tsai Ing-wen. - Gambar fail AP
TAIPEI: Taiwan berusaha untuk membentuk pakatan demokratik yang berdaya tahan dengan Kesatuan Eropah (EU) selain memperkukuh hubungan ekonomi, kata Presiden Tsai Ing-wen pada Selasa.
"Taiwan berusaha untuk meningkatkan ekonomi dan perdagangan dua hala, mengukuhkan keselamatan rantaian bekalan dan mempercepat kemajuan dalam perjanjian pelaburan dua hala Taiwan-EU," kata Tsai kepada delegasi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa (INTA) Parlimen Eropah di Taipei.
Beliau berkata, Taiwan dan EU adalah rakan dagang yang penting dengan pertumbuhan 32 peratus perdagangan dua hala pada 2021 walaupun berlaku pandemik COVID-19.
Tsai turut menyuarakan penghargaannya kerana Parlimen Eropah telah meluluskan lebih 10 resolusi menyokong Taiwan tahun ini, lapor dpa.
Ini termasuk resolusi yang menyokong penyertaan antarabangsa Taiwan, menyuarakan kebimbangan terhadap keamanan dan kestabilan di seluruh Selat Taiwan selain menggesa EU untuk melibatkan diri dengan Taiwan dalam bidang seperti teknologi hijau dan ekonomi digital.
"Dunia hari ini menghadapi peningkatan peluasan kuasa. Taiwan bersedia dan mampu mengukuhkan rakan kongsi demokratik di peringkat global," kata presiden itu.
Sementara itu, naib pengerusi INTA Anna-Michelle Asimakopoulou berkata perkongsian yang sehaluan antara EU dan Taiwan dibina atas asas nilai bersama yang kukuh, termasuk demokrasi, kebebasan dan hak asasi manusia.
"EU mengiktiraf bahawa perkongsian kami dalam perdagangan dan pelaburan dengan Taiwan adalah hubungan strategik dengan implikasi geopolitik," kata Asimakopoulou.
Beliau juga menekankan pentingnya kerjasama berkaitan rantaian bekalan global kerana Taiwan memainkan peranan utama dalam industri semikonduktor. - BERNAMA
#Taiwan #EU #Presiden Tsai Ing-wen #pakatan demokratik
;