Taiwan lancar sistem amaran gunung berapi hujung tahun ini
Bernama
Julai 6, 2020 17:55 MYT
Julai 6, 2020 17:55 MYT
Taiwan akan melancarkan sistem amaran untuk memantau gunung berapi dan menyelia langkah-langkah pencegahan bencana, menjelang akhir tahun ini, kata Biro Cuaca Pusat (CWB) pada Isnin.
Sistem itu menumpukan aktiviti gunung berapi yang terletak di Datun, Taipei dan di Pulau Penyu, Yilan, lapor Agensi Berita Pusat (CNA).
Selain itu, ia juga akan memberi panduan kepada pentadbiran dua wilayah berkenaan dan New Taipei serta Keelung, untuk merangka langkah-langkah pencegahan yang berkaitan.
Aktiviti gunung berapi akan dikategorikan pada tiga tahap iaitu sifar, satu dan dua, yang masing-masing mewakili warna hijau, kuning dan merah.
Menurut CNA, kriteria pemantauan meliputi perubahan bentuk kerak bumi, pembebasan gas tertentu, dan perubahan suhu air bawah tanah.
Walaupun gunung berapi di Taiwan sudah tidak aktif selama ribuan tahun, satu kajian Academia Sinica mendapati ia masih boleh meletus bila-bila masa.