Taiwan kesan 8 pesawat China, 5 kapal dekat sempadan dalam tempoh 24 jam

Bernama
Disember 26, 2023 19:58 MYT
Kapal perang China, Luyang III belayar berdekatan kapal tentera USS Chung-Hoon di Selat Taiwan. - Reuters
MOSCOW: Angkatan bersenjata Taiwan mengesan lapan pesawat, lima kapal dan satu belon udara China di sekitar Taiwan dalam tempoh 24 jam lepas, lapor Sputnik, memetik Kementerian Pertahanan Taiwan pada Selasa.
"Lapan pesawat PLA (Tentera Pembebasan Rakyat) dan lima kapal PLAN (Tentera Laut PLA) di sekitar Taiwan telah dikesan pada 6 pagi (UTC+8) hari ini," menurut kementerian itu di X.
Kementerian itu berkata tiga daripada pesawat yang dikesan itu memasuki zon udara di mana Taiwan cuba mengenal pasti pesawat itu demi kepentingan keselamatan negara.
Kementerian juga berkata bahawa belon China itu dikesan selepas menyeberang Selat Taiwan. Angkatan bersenjata telah memantau keadaan itu.
Taiwan ditadbir secara bebas dari tanah besar China sejak 1949. Beijing menganggap pulau itu sebagai wilayahnya manakala Taiwan mengekalkan bahawa ia adalah entiti autonomi tetapi tidak mengisytiharkan kemerdekaannya.
Beijing menentang sebarang hubungan asing rasmi dengan Taipei dan menganggap kedaulatan China ke atas pulau itu sebagai tidak boleh dipertikaikan.
Ketegangan terbaharu di Taiwan bermula pada April selepas Presiden Taiwan Tsai Ing-wen bertemu Speaker Dewan Rakyat Amerika Syarikat (AS) ketika itu Kevin McCarthy di AS.
Beijing bertindak balas dengan melancarkan latihan ketenteraan besar-besaran selama tiga hari berhampiran pulau itu dalam apa yang disebut sebagai amaran kepada pihak pemisah Taiwan dan kuasa asing.
Pada Ogos dan September, angkatan tentera Taiwan melaporkan kehadiran tentera laut dan peronda udara China berbilang kali di sekitar pulau itu manakala pada 18 Sept, kementerian melaporkan rekod tertinggi 103 pesawat China dilihat berhampiran pulau itu dalam satu hari.
--BERNAMA-SPUTNIK
#Taiwan #China #kapal China #ruang udara taiwan #pesawat China
;