Taiwan keluarkan amaran Taufan Muifa
Bernama
September 11, 2022 14:26 MYT
September 11, 2022 14:26 MYT
TAIPEI: Biro Cuaca Pusat (CWB) Taiwan pada Ahad mengeluarkan amaran Taufan Muifa yang diramal mencetuskan hujan lebat di kawasan utara dan timur laut pulau itu.
Setakat 11 pagi Ahad, taufan itu berada pada kedudukan 370 kilometer (km) dari timur laut Eluanbi, dan sedang bergerak ke arah utara-barat laut dengan kelajuan lapan kilometer sejam (km/j), lapor Agensi Berita Pusat (CNA) memetik CWB.
Taufan itu mampu bergerak dengan kelajuan maksimum 144 km/j dengan tiupan angin sehingga 180 km/j serta mempunyai radius 150km.
Ahli meteorologi CWB Wu Wan Hua berkata Muifa dijangka bergerak ke utara pada Ahad dan semakin perlahan pada Isnin dan Selasa.
Taufan Muifa dijangka membawa hujan lebat ke kawasan pergunungan di utara dan timur laut Taiwan, serta kawasan pantai termasuk di Keelung dan di kawasan timur serta tenggara.
Hujan diramal berkurangan pada Rabu apabila Muifa bergerak meninggalkan Taiwan.
-- BERNAMA