Taiwan keluarkan amaran darat dan laut untuk Taufan Gaemi

Bernama
Julai 23, 2024 12:45 MYT
Agensi Meteorologi Taiwan telah mengeluarkan amaran laut dan darat untuk Taufan Gaemi, yang dijangka mendarat di Daerah Yilan antara lewat malam Rabu dan awal pagi Khamis. - Foto REUTERS
TAIPEI: Agensi Meteorologi Taiwan telah mengeluarkan amaran laut dan darat untuk Taufan Gaemi, yang dijangka mendarat di Daerah Yilan antara lewat malam Rabu dan awal pagi Khamis, lapor Xinhua.
Setakat 1 tengah hari pada Selasa, pusat Taufan Gaemi terletak kira-kira 470 kilometer (km) tenggara Eluanbi, bergerak ke barat laut dengan kelajuan angin maksimum sekitar 144 km sejam.
Radius ribut itu menghampiri Selat Bashi dan kawasan laut tenggara Taiwan, menimbulkan ancaman kepada New Taipei, Yilan, Hualien dan Taitung.
Agensi meteorologi meramalkan peningkatan angin dan hujan apabila taufan semakin hampir.
Taufan Gaemi telah menyebabkan penggantungan beberapa perkhidmatan feri, pembatalan penerbangan tertentu dan penutupan atau sekatan akses ke beberapa tapak pelancongan utama.
Sementara itu di Mongolia, agensi pemantau cuaca negara itu mengumumkan pada Selasa bahawa hujan lebat yang berterusan telah menyebabkan peningkatan ketara dalam paras air semua sungai utama.
"Paras air di sungai-sungai utama termasuk Eg, Beltes, Tuul, Yeruu, Onon, Kherlen, Selenge, dan Orkhon telah melebihi paras amaran sebanyak 40 sentimeter (cm) hingga 105 cm akibat hujan lebat sejak hujung minggu lepas," kata Agensi Meteorologi dan Pemantauan Alam Sekitar Kebangsaan negara itu dalam satu kenyataan.
Hujan lebat telah melanda sebahagian besar negara itu sejak pertengahan Julai.
Agensi itu memberi amaran kepada penduduk yang tinggal di sepanjang sungai untuk mengambil semua langkah berjaga-jaga yang diperlukan, manakala ahli meteorologi meramalkan bahawa ribut petir jangka pendek dijangka berlaku di kebanyakan kawasan negara itu dalam beberapa hari akan datang.
-- BERNAMA
#Taiwan #amaran darat dan laut #Taufan Gaemi #Yilan