Taiwan bersiap sedia hadapi Taufan Megi hari ini
Agensi
September 27, 2016 10:05 MYT
September 27, 2016 10:05 MYT
Perkhidmatan pengangkutan udara dan juga keretapi di Taiwan hari ini terjejas berikutan kedatangan tgelombang taufan ketiga pada bulan ini, sementara kebanyakan bandar mengumumkan penutupan pejabat dan sekolah, lapor Reuters.
Pasaran kewangan di pulau itu juga akan ditutup, kata penggubal dasar kewangan.
Taufan Megi dijangka melanda pesisiran timur pulau tersebut pada petang Selasa.
"Selain membawa hujan lebat, taufan ini juga membawa tiupan angin kencang," ujar pegawai Biro Cuaca Pusat, Hsieh Ming-chang, dalam siaran televisyen.
Perkhidmatan keretapi laju di Taiwan turut mengehentikan sementara operasinya pada Selasa, sementara salah satu daripada syarikat penerbangan utama, EVA Airways Corp, telah membatalkan atau menjadual semula beberapa penerbangan antarabangsa.
Sementara itu, AFP yang memetik data daripada Pusat Operasi Kecemasan melaporkan, lebih daripada 5,000 orang telah dipindahkan dari rumah mereka dan sekitar 2,000 orang kini berada di pusat perlindungan sementara. Kira-kira 36,000 isi rumah kehilangan bekalan kuasa akibat taufan itu setakat ini.
Selain itu, sejumlah 575 penerbangan antarabangsa dan domestik dibatalkan pada pagi Selasa, dan 109 lagi dilewatkan.
Awal bulan ini Taufan Meranti telah mengorbankan sekurang-kurangnya 28 orang di China dan Taiwan serta memutuskan bekalan kuasa di lebih daripada sejuta kediaman.
Taufan adalah bencana alam yang lazim di rantau tersebut sekitar musim ini. Kekuatannya terbina setiap kali taufan itu merentasi perairan Pasifik yang panas, seterusnya membawa hujan lebat dan angin kencang.