Taiwan benarkan kemasukan pasangan asing, anak bawah umur

Bernama
September 13, 2021 19:59 MYT
Negara itu menutup sempadannya sejak 19 Mei hampir untuk semua ketibaan, kecuali warganya dan penduduk sah, selepas penularan pandemik COVID-19 membabitkan jangkitan tempatan melanda pada pertengahan Mei. - Reuters
TAIPEI: Taiwan secara berperingkat akan menarik balik larangan masuk ke negara itu yang dilaksanakan sejak pertengahan Mei dengan membenarkan pasangan asing warganegara Taiwan dan anak-anak mereka yang di bawah umur memasuki negara itu berkuat kuasa serta-merta, umum pihak berkuasa pada Isnin.
Negara itu menutup sempadannya sejak 19 Mei hampir untuk semua ketibaan, kecuali warganya dan penduduk sah, selepas penularan pandemik COVID-19 membabitkan jangkitan tempatan melanda pada pertengahan Mei, lapor CNA Taiwan.
Pengecualian hanya diberi untuk kecemasan atau atas alasan kemanusiaan, tetapi perlu mengemukakan permohonan kepada Pusat Tindakan Epidemik Sentral (CECC) terlebih dahulu untuk mendapat kebenaran khas memasuki negara ini.
Setelah menilai situasi COVID-19 terkini di Taiwan, Timbalan Menteri Dalam Negeri Chen Tsung Yen, yang juga Timbalan Ketua CECC, berkata CECC memutuskan untuk membenarkan pasangan asing, termasuk dari Hong Kong, Macau dan China, yang sah berkahwin dengan warga Taiwan, dan anak-anak mereka yang di bawah umur untuk memohon memasuki negara itu.
Permohonan visa boleh dibuat di pejabat luar negeri Taiwan, tambahnya.
Mereka yang memasuki negara ini masih perlu menjalani kuarantin 14 hari seperti yang diwajibkan kepada semua ketibaan lain, kata Chen.
-- BERNAMA
#Taiwan #larangan masuk #COVID-19 #jangkitan
;