Tahun 2024 catat jumlah kematian tertinggi migran - Agensi Migrasi PBB
Bernama
Mac 21, 2025 05:15 MYT
Mac 21, 2025 05:15 MYT
Ugochi Daniels berkata, tragedi peningkatan jumlah kematian migran di seluruh dunia adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan sebenarnya boleh dicegah. - Foto X/Ugochi Daniels
GENEVA: Sekurang-kurangnya 8,938 orang kehilangan nyawa di laluan migrasi sepanjang 2024, menjadikannya tahun paling banyak kematian dalam rekod, lapor Anadolu Ajansi berdasarkan data terbaru daripada Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) yang dikeluarkan pada Jumaat.
Angka itu melepasi rekod sebelumnya sebanyak 8,747 kematian pada 2023, meneruskan trend peningkatan kematian selama lima tahun berturut-turut, menurut agensi itu dalam satu kenyataan.
"Tragedi peningkatan jumlah kematian migran di seluruh dunia adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan sebenarnya boleh dicegah. Di sebalik setiap angka, ada insan yang kehilangannya membawa kesan yang amat menyedihkan," kata Timbalan Ketua Pengarah Operasi IOM, Ugochi Daniels.
"Peningkatan kematian di begitu banyak wilayah di dunia menunjukkan mengapa kita memerlukan tindak balas antarabangsa yang menyeluruh bagi mengelakkan lebih banyak kehilangan nyawa yang tragis."
Data IOM menunjukkan, 2024 menjadi tahun paling banyak kematian di pelbagai rantau, dengan 2,778 kematian di Asia, 2,242 di Afrika dan 233 di Eropah. Laut Mediterranean mencatatkan 2,452 kematian, menekankan keperluan mendesak bagi sistem mencari dan menyelamat yang mencukupi serta laluan migrasi yang selamat dan teratur sebagai alternatif kepada perjalanan berisiko ini.
Di benua Amerika, sekurang-kurangnya 1,233 orang meninggal dunia, termasuk rekod 341 kematian di Caribbean dan 174 di Darien Gap.
Keganasan kekal sebagai punca utama kematian migran, menurut data itu, dengan hampir 600 nyawa terkorban di Asia Selatan dan Asia Tenggara sahaja, bagaimanapun jumlah sebenar mungkin lebih tinggi kerana banyak kematian tidak direkodkan disebabkan kekurangan sumber rasmi.
"Peningkatan jumlah kematian sudah cukup mengerikan, tetapi hakikat yang ribuan mangsa kekal tidak dikenali setiap tahun menjadikannya lebih tragis," kata penyelaras projek migran hilang IOM, Julia Black.
"Selain kesedihan dan persoalan yang tidak terjawab dalam kalangan keluarga yang kehilangan insan tersayang, kekurangan data lengkap mengenai risiko yang dihadapi migran turut menyukarkan usaha menyelamatkan nyawa."
-- BERNAMA