Tahap keselamatan Gunung Berapi Agung diturunkan

Khairunnisa Kasnoon
Februari 13, 2018 10:25 MYT
November tahun lalu hingga awal tahun ini, letusan Gunung Berapi Agung memaksa ribuan penduduk sekitar melarikan diri dari kediaman mereka. - Foto AP/Firdia Lisnawati
Status keselamatan Gunung Agung di Bali telah diturunkan daripada Tahap IV (Awas) kepada Tahap III (Siaga) pada 10 Februari 2018, kata Kementerian Luar dalam satu kenyataannya hari ini.
Radius kawasan merbahaya telah juga dikurangkan daripada 6km kepada 4km.
“Walau bagaimanapun, memandangkan status keselamatan Gunung Agung tersebut boleh berubah dalam masa yang singkat, pihak berkuasa Indonesia telah memberi peringatan terhadap kemungkinan evakuasi sekiranya status keselamatan itu meningkat,” ujar kenyataan itu lagi.
BACA: Indonesia kecilkan zon berbahaya volkano Gunung Agung di Bali
Justeru, rakyat Malaysia adalah dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga untuk keselamatan diri, mengikuti perkembangan berita tempatan dan mematuhi arahan daripada pihak-pihak berkuasa tempatan.
Pada masa sama, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Pejabat Konsul Kehormat Malaysia di Bali menerusi e-mel balihcmalaysia@gmail.com atau Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menerusi e-mel mwjakarta@kln.gov.my atau panggilan telefon ke talian +62215224947 dan +6281380813036.
#Bali #Gunung Agung #Indonesia #Kementerian Luar
;