Tahap keselamatan di Punjab diperketat ketika polis buru pemimpin Sikh
Bernama
Mac 19, 2023 20:28 MYT
Mac 19, 2023 20:28 MYT
NEW DELHI: Tahap keselamatan di negeri Punjab, India diperketatkan pada Ahad ketika polis melancarkan gerakan memburu seorang pemimpin Sikh.
Pada Sabtu polis Punjab telah menahan 78 orang dalam satu operasi besar-besaran yang dilancarkan untuk memburu ketua pertubuhan Waris Punjab De (Waris Punjab), Amritpal Singh.
Amritpal, 30, disifatkan oleh media India sebagai pendakwah radikal yang simpati terhadap usaha untuk menubuhkan negara "Khalistan" yang merdeka.
Dia melarikan diri daripada buruan polis pada Sabtu manakala ramai rakan sekutunya ditahan.
Sebanyak sembilan senjata api turut ditemukan semasa operasi itu, kata polis.
Perkhidmatan Internet mudah alih dan pemesejan teks dan semua perkhidmatan perkakasan komputer yang disediakan pada rangkaian mudah alih, kecuali panggilan suara, di Punjab akan disekat sehingga 20 Mac, menurut laporan media pada Ahad, memetik Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri.
Dalam ciapan di Twitter, polis meminta orang ramai "tidak panik atau menyebarkan berita palsu atau ucapan kebencian" dan keselamatan dan undang-undang adalah terkawal.
Amritpal menjadi tumpuan baru-baru ini susulan kenyataannya yang dilihat sebagai mempromosi radikalisme di wilayah majoriti Sikh di India.
Kumpulan Waris Punjab De ditubuhkan oleh pelakon dan aktivis Deep Sidhu yang terbunuh dalam nahas jalan raya tahun lalu.
-- BERNAMA