Tahap kepuasan rakyat terhadap Jokowi berada di tahap tertinggi
Astro Awani
Januari 22, 2023 07:40 MYT
Januari 22, 2023 07:40 MYT
KADAR kepuasan rakyat Indonesia terhadap Presiden Joko Widodo berada pada paras tertinggi selepas kerajaan melonggarkan sekatan COVID-19 bulan lalu.
Angka dikeluarkan Lembaga Survei Indonesia (LSI) menunjukkan kepuasan terhadap presiden, yang lebih dikenali sebagai Jokowi, meningkat secara konsisten sejak beberapa bulan kebelakangan ini untuk mencapai 76.2 peratus pada awal 2023.
Pengarah Eksekutif LSI, Djayadi Hanan, berkata dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini prestasi presiden meningkat dari segi persepsi awam yang positif daripada 62 peratus pada September 2022 kepada 76.2 peratus.
Lonjakan lebih 10 mata itu meletakkan Jokowi pada kadar penerimaan tertinggi yang dicatatkan oleh LSI sejak penggalnya bermula pada tahun 2014.
Ia antara lain disebabkan penambahbaikan dalam persepsi ekonomi dan penguatkuasaan undang-undang sebagai alasan untuk lonjakan.
Jokowi sedang menjalani penggal kedua dan terakhir dalam memegang jawatan menjelang pilihan raya akan datang yang dijadualkan pada Februari 2024.
Tinjauan mendapati Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo adalah calon pilihan untuk menggantikan Jokowi walaupun pencalonannya masih belum diumumkan.
Calon utama lain adalah Menteri Pertahanan Prabowo Subianto dan bekas Gabenor Jakarta Anies Baswedan, yang kedua-duanya mengumumkan hasrat untuk bertanding.