Tahanan Palestin rindu solat di Masjid Al-Aqsa

Agensi
Mac 2, 2025 19:45 MYT
Hamza al-Kalouti (tengah) memeluk keluarganya berhampiran Masjid Al-Aqsa. - Gambar/ Reuters
BAITULMAQDIS: Warga Palestin, Hamza al-Kalouti, menyifatkan kegembiraan selepas dibebaskan tidak lengkap apabila dia tidak dibenarkan masuk untuk beribadah di Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis pada Sabtu.
Al-Kalouti yang menjadi tahanan selama 24 tahun berkata, meskipun rindu, dia hanya mampu melihat Masjid Al-Aqsa dari jauh.
"Ia adalah perasaan yang sangat menyedihkan. Saya memberitahu isteri saya tentang perkara ini, Masjid Al-Aqsa ada dalam darah kami.
"Ia bukan seperti mana-mana masjid atau bangunan lain, ia berada di sini berdekatan, tetapi saya tidak dapat masuk kerana saya dihalang tanpa sebarang alasan yang munasabah. Ini tidak berperikemanusiaan," katanya.
Al-Kalouti dilarang memasuki Masjid Al-Aqsa selama enam bulan oleh pihak berkuasa Israel, satu keputusan yang turut dikenakan ke atas kebanyakan tahanan Palestin yang dibebaskan.
Beliau berkata keputusan itu telah mengurangkan kegembiraan bebas daripada menjadi tahanan dan merindui saat menunaikan solat di masjid itu.
Al-Kalouti, 55, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada tahun 2001 selepas ditahan kerana hubungannya dengan briged Al-Qassam milik Hamas.
Pihak Israel mendakwanya atas kesalahan membantu dalam merancang dan menyediakan serangan bunuh diri.
Al-Kalouti merupakan antara 620 tahanan dan banduan Palestin yang dibebaskan pada Khamis, sebagai pertukaran dengan mayat empat tebusan Israel dalam fasa pertama perjanjian gencatan senjata di Gaza.
Sementara itu, Al-Kalouti gembira dapat berkumpul bersama keluarganya untuk berbuka puasa buat kali pertama dalam tempoh 24 tahun.
#gencatan senjata #Masjid Al-Aqsa #Israel #Hamas
;