Tahanan Palestin dibebaskan selepas mogok lapar
Astro Awani
Mac 18, 2013 08:51 MYT
Mac 18, 2013 08:51 MYT
Kepulangan seorang warga Palestin yang ditahan rejim Israel disambut sebagai wira oleh penduduk di semenanjung Gaza.
Ayman Sharawaneh yang melancarkan mogok lapar ketika dalam penjara dibebaskan selepas bersetuju dikenakan tahanan di wilayah pentadbiran Hamas untuk tempoh 10 tahun.
Selepas pembebasannya, Ayman dibawa dengan ambulans ke sempadan di Erez untuk memasuki Gaza.
Puluhan penduduk menyambut ketibaannya dengan mengibarkan bendera Palestin.
Ayman, 53 tahun, yang kelihatan lemah, kurus dan tidak bermaya segera dibawa ke hospital di bandar Gaza untuk rawatan.
Peguamnya, Jawad Bulous memberitahu, tawaran tahanan terhad itu diterima bagi mengelak Ayman ditahan di penjara tentera untuk tempoh yang lebih panjang.
Ayaman yang sedang menjalani hukuman penjara 38 tahun atas dakwaan terlibat dalam serangan ke atas Israel adalah sebahagian daripada 1,000 tahanan yang dibebaskan dalam program pertukaran banduan pada 2011.
Beliau kemudian di tahan semula pada Januari 2012 kerana dituduh melanggar syarat pembebasan dengan berhubung dengan anggota Hamas.
Selepas ditahan, Ayman memulakan mogok lapar pada Julai sebagai protes kepada penahanannya.