Tahanan mogok lapar di Thailand digegas ke hospital akibat masalah kesihatan
Agensi
September 6, 2023 17:35 MYT
September 6, 2023 17:35 MYT
BANGKOK: Seorang wanita yang didakwa atas kesalahan menghina institusi diraja Thailand terpaksa menerima rawatan di Hospital Universiti Thammasat selepas keadaannya bertambah kritikal disebabkan mogok lapar.
Dia digegaskan ke hospital berkenaan pada Selasa, iaitu pada hari ke-16 melakukan aksi protes, selepas mengetahui dia ditahan tanpa boleh diikat jamin, lapor Bangkok Post.
Wanita berusia 30 tahun yang hanya dikenali sebagai Warunee itu pada mulanya dimasukkan ke hospital penjara kerana keletihan melampau, namun dia menolak untuk dirawat.
Keadaan itu membuatkan ahli keluarganya bimbang tentang tahap kesihatan wanita itu, yang seterusnya meminta peguam agar mendesak pihak penjara membenarkan Warunee mendapat perhatian pakar perubatan.
Warunee mula menolak diberikan makanan pada 21 Ogos lalu sebagai tanda protes terhadap keputusan mahkamah yang menolak dirinya diikat jamin sementara dia merayu atas pertuduhannya. Dia hanya meminum susu soya pada tiga hari pertama, dan sejak itu hanya meminum air yang sedikit.
Dia telah kehilangan empat kilogram (kg) dan beratnya menurun mendadak ke 33kg.
Peguam yang melawatnya pada Selasa lalu memberitahu, Warunee dalam kadaan stabil namun lemah, antara lain kerana turut menolak suplemen mineral yang diberikan kepadanya. Pihak doktor pula menyatakan paras pH di dalam darahnya bermasalah.
Pertuduhan ke atasnya bermula pada Disember 2021. Aduan itu dibuat oleh Nopadol Prompasit, iaitu seorang ahli kumpulan Pusat Bantuan Mangsa Buli Siber Thailand, yang kerap memfailkan dakwaan kesalahan lese-majeste terhadap para aktivis negara itu.
Seorang lagi tahanan, Weha Saencholchasanuk, kini turut menjalankan mogok lapar di Penjara Reman Bangkok sejak 23 Ogos lalu sebagai tanda solidariti dengan Warunee.
Menurut rekod, sehingga 31 Julai tahun ini, 1,918 orang telah didakwa akibat menyertai tunjuk perasaan bersifat politik semenjak penganjuran protes Free Youth pada Julai 2020. Sekurang-kurangnya 253 orang yang berdepan dakwaan lese-majeste di bawah Seksyen 112 dan 130, didakwa atas kesalahan memfitnah.