Tabung Hidupan Liar Sedunia saman Norway rancangan perlombongan dasar laut

Bernama
Mei 25, 2024 05:45 MYT
WWF berhujah bahawa keputusan Norway berhubung penerokaan mineral dasar laut melanggar undang-undang negara, bertentangan dengan nasihat para penasihat kerajaan dan menetapkan duluan yang membimbangkan.
LONDON: Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) telah memfailkan saman pada Jumaat di sebuah mahkamah di Oslo untuk mencabar rancangan Norway bagi penerokaan mineral dasar laut, yang didakwa gagal menguji kemungkinan kesan aktiviti tersebut, menurut satu kenyataan.
Organisasi itu percaya keputusan berkenaan dibuat berdasarkan penilaian kesan strategik yang tidak memenuhi syarat minimum, lapor Agensi Anadolu.
WWF dalam kes itu berhujah bahawa keputusan tersebut melanggar undang-undang negara, bertentangan dengan nasihat para penasihat kerajaan dan menetapkan duluan yang membimbangkan.
"Kami percaya kerajaan melanggar undang-undang Norway dengan membuka industri baharu yang berpotensi merosakkan, tanpa menilai akibatnya dengan secukupnya.
"Ia akan menetapkan duluan berbahaya jika kita membenarkan kerajaan mengabaikan peraturannya sendiri, mengatasi semua nasihat alam sekitar dan menguruskan sumber semula jadi kita secara membuta tuli," kata ketua eksekutif WWF-Norway, Karoline Andaur dalam satu kenyataan.
Pada Januari, Norway menjadi negara pertama yang meluluskan amalan kontroversi perlombongan dasar laut secara komersial, walaupun mendapat amaran dari agensi alam sekitar negara itu, komuniti penyelidikan nasional dan antarabangsa serta kritikan dari Kesatuan Eropah dan seluruh dunia.
Rang undang-undang baharu itu akan mempercepatkan pencarian logam berharga yang sangat diperlukan untuk teknologi hijau, namun saintis alam sekitar telah memberi amaran bahawa ia boleh merosakkan hidupan marin.
Dasar laut mengandungi mineral seperti litium, skandium dan kobalt yang penting untuk teknologi bersih seperti bateri.
Oslo merancang untuk membuka 280,000 kilometer persegi perairan negara untuk syarikat memohon lesen perlombongan, menurut laporan media dengan lesen pertama dijangka dikeluarkan pada 2025.
Namun, perlombongan tidak akan bermula sebelum 2030 dan memerlukan kelulusan daripada penggubal undang-undang Norway.
Penyokong perlombongan dasar laut berpendapat bahawa pengekstrakan bahan mentah dari dasar laut akan mempercepatkan peralihan kepada ekonomi rendah karbon yang seterusnya boleh mengurangkan kos alam sekitar berbanding perlombongan darat.
Setakat ini, 25 negara termasuk Perancis, United Kingdom, Mexico dan Denmark, telah menyeru untuk pemberhentian sementara moratorium atau larangan perlombongan dasar laut, kata WWF-Norway.
Lebih daripada 800 saintis marin dari 44 negara menyatakan kebimbangan mengenai keputusan negara Nordik berkenaan.
Pada Januari, Suruhanjaya Eropah menuntut larangan terhadap perlombongan dasar laut sehingga jurang pengetahuan saintifik diisi dengan baik dan dapat dibuktikan bahawa aktiviti itu tidak mempunyai kesan berbahaya terhadap persekitaran marin.
Parlimen Eropah mengundi hampir sebulat suara pada Februari menyokong resolusi yang mengkritik rancangan Norway.
-- BERNAMA
#WWF #saman #penerokaan mineral dasar laut #Norway
;