Tabu kuliah perfileman Arab Saudi: "Lelaki ajar wanita buat video? Mana boleh?"

Agensi
Mac 13, 2018 13:24 MYT
Beberapa penuntut wanita sedang mempelajari seni perfileman di kawasan terbuka sebuah universiti di Jeddah. - Reuters
Pelajar bernama Sama Kinsara melaras kameranya ketika berada dalam satu-satunya kuliah perfileman di Arab Saudi. Impiannya untuk melihat hasil karyanya ke layar besar kini semakin fokus selepas negara itu memansuhkan pengharaman operasi panggung wayang selepas 35 tahun.
“Semuanya akan berubah,” ujar penuntut tahun pertama produksi visual dan digital di Universiti Effat di Jeddah, lapor Reuters.
Kursus yang disertainya akan dinamakan semula sebagai ‘seni sinematik’, bagi mengubah nama lama yang sering menjadi sasaran polis agama dan komuniti tempatan yang menentang keras konsep ‘lelaki mengajar wanita cara membuat filem’.
Selama ini, banyak yang 'tidak merestui' dan melarang perkara itu daripada terjadi.
Kinsara dan rakan sekuliah yang khusus untuk wanita itu telah mendapat kebebasan untuk membuat penggambaran di luar kawasan universiti buat kali pertama.
“Perempuan yang membawakamera dan merakam di jalanan kini melebarkan ruang kekangan,” ujar Ketua Jabatan Produksi Visual dan Digital di universiti itu, Mohamed Ghazala, yang memulakan kursus itu sejak tahun 2013.
Perubahan itu adalah hasil pemansuhan pengharaman, yang dicetuskan tahun lalu oleh Putera Mahkota yang mempunyai visi reformasi, Putera Mohammed Salman.
Pihak berkuasa berharap dengan pembukaan 300 panggung wayang dan pembangunan industri filem, lebih daripada AS$24 bilion dapat disumbangkan kepada ekonomi selain mencipta 30,000 peluang pekerjaan.
Panggung wayang dan filem adalah antara beberapa perkara baharu yang dibenarkan kepada wanita Arab Saudi. Mereka juga kini boleh menonton perlawanan bola sepak di stadium, menyertai acara sukan, dan bakal dibenarkan memandu kenderaan sebebasnya tanpa halangan.
Kerajaan konservatif itu masih menjadi salah satu negara paling sukar untuk wanita menjalani kehidupan bebas. Wanita memerlukan kebenaran dari sistem penjaga dan mahram untuk melunaskan pelbagai urusan hinggalah kepada proses membuat keputusan.
Bagi penuntut perfileman Qurratulain Waheb, peluang untuk keluar dari kampus universiti dan membuat penggambaran bersama rakan sekuliahnya sangat dihargai.
"Sebelum ini, timbul masalah jika kami membawa kamera ke dalam pusat beli-belah. Kami tidak dibenarkan masuk. Tap[I sekarang semuanya menjadi lebih lancar.
“Dengan izin ini, segalanya menjadi mudah dan orang ramai semakin menerimanya. Mereka mahu lihat apa yang kami lakukan,” ujarnya.
#Arab #Arab Saudi #budaya #filem #hak wanita #Jeddah #panggung wayang #pengharaman #seni perfileman #tabu #wanita
;