Syria hantar permohonan kepada PBB siasat dakwaan serangan bom kimia

Agensi
April 22, 2017 08:28 MYT
Menurut Bashar dalam satu temuramah dengan stesen televisyen tempatan, kebenaran akan terdedah sekiranya PBB menghantar delegasi menyiasat dalang serangan itu. - Foto SANA/Handout via REUTERS
Presiden Syria, Bashar al-Assad berkata Damsyik sudahpun memfailkan permohonan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar satu delegasi dihantar bagi menyiasat dakwaan serangan bom kimia awal bulan ini.
Namun beliau mendakwa Amerika Syarikat dan negara barat lain sebaliknya berusaha menghalang sebarang siasatan dijalankan.
Menurut Bashar dalam satu temuramah dengan stesen televisyen tempatan pada Jumaat, kebenaran akan terdedah sekiranya PBB menghantar delegasi menyiasat dalang serangan itu.
Bashar juga mengulangi penafian beliau terlibat dalam serangan ke atas bandar yang dikawal puak pemberontak itu.
Serangan di bandar Khan Heikhoun itu didakwa menggunakan gas kimia yang dikenali sebagai gas sarin dan membunuh lebih 80 nyawa.
Sementara itu Bashar berkata pihaknya percaya kumpulan pemberontak yang pernah dikenali sebagai Barisan Nusra bertanggungjawab terhadap insiden serangan terhadap konvoi bas yang sedang memindahkan penduduk Syiah Sabtu lalu.
Insiden di Aleppo itu mengorbankan tidak kurang dari 126 nyawa.
#Amerika Syarikat #Bashar al-Assad #bom kimia #PBB #serangan #Syria
;