Syria gempur kedudukan Daesh dengan sokongan Rusia

Bernama
Jun 10, 2024 11:45 MYT
Kementerian Pertahanan Syria mengesahkan unit aktifnya bertempur dengan kumpulan pengganas yang berkaitan dengan Daesh di padang pasir Syria. - Gambar/ Reuters
TEHRAN: Tentera Syria dan kumpulan pengganas Daesh sekali lagi bertempur dalam serangan paling hebat dilaporkan di tengah Syria, lapor Agensi Berita Iran (IRNA).
Menurut laman sesawang The New Arab yang memetik aktivis media di Deir Ezzor, Abu Omar Al-Bukmali, pada Ahad malam, serangan tentera Syria dalam beberapa hari kebelakangan ini merupakan antara serangan tentera terbesar di padang pasir Syria.
Beliau berkata kenderaan tentera dan briged Divisyen ke-25, Divisyen ke-5 tentera Syria dan Bahagian Pengawal Presiden Syria turut serta dalam operasi ketenteraan itu.
Serangan besar-besaran tentera Syria telah dilakukan di Rasafa di Raqqa, Athriya di pinggir bandar Hama, Sheikh Hilal di pinggir bandar Aleppo dan sehingga ke kawasan Al-Tanf di sempadan Syria, Jordan dan Iraq.
Kementerian Pertahanan Rusia juga mengumumkan dua hari lepas bahawa ia telah melancarkan serangan udara dan menyasarkan kedudukan pengganas di Al-Tanf, timur Syria yang berada di bawah kawalan tentera Amerika.
Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di London, juga melaporkan bahawa pengganas Daesh telah melakukan serangan berasingan ke atas konvoi tentera Syria di Al-Amur di pinggir timur Homs, Al-Bukmal di pinggir Deir Ezzor, membunuh sekurang-kurangnya 10 anggota tentera Syria.
Kementerian Pertahanan Syria juga mengesahkan pada Ahad bahawa unit aktifnya bertempur dengan kumpulan pengganas yang berkaitan dengan Daesh di padang pasir Syria.
--BERNAMA-IRNA
#Syiria #Daesh #Rusia #operasi ketenteraan