Syawal berdarah di Gaza, setiap keluarga pasti ada seorang mati Syahid - Dr Ziad Shehada

Firdaus Azil
April 11, 2024 18:22 MYT
Pengurus Besar MyCARE Gaza, Dr Ziad Shehada berkata Syawal kali ni Syawal yang berdarah untuk rakyat Palestin, dek kerana kekejaman Zionis Israel yang melancarkan serangan demi serangan di kawasan awam dan kem pelarian.
SEMENANJUNG GAZA: Memasuki 1 Syawal, kebiasaannya umat Islam akan memakai baju baharu yang berwarna-warni, beramai-ramai ke masjid bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri, dan seterusnya berkumpul bersama sanak saudara dan sahabat handai.
Di Semenanjung Gaza, terutamanya Syawal kali ini, tidak keterlaluan jika dikatakan ia Syawal yang berdarah untuk rakyat Palestin, dek kekejaman Zionis Israel yang melancarkan serangan demi serangan di kawasan awam dan kem pelarian.
Seperti yang dikongsikan oleh Dr Ziad Shehada, Pengurus Besar MyCARE Gaza kepada Astro AWANI, kali ini mereka terpaksa bersembunyi di bawah tangga, di dalam bangunan, kerana khuatir akan serangan bom udara daripada tentera Israel.
“Kebiasaanya umat Islam di Palestin akan menyambut Syawal selama tiga hari. Tetapi kali ini pada hari pertama Syawal, sekurang-kurangnya 250 orang telah mati syahid. Saya sendiri terpaksa bersembunyi di bawah tangga untuk menyelamatkan diri daripada serangan bom.
“Apabila dron tentera Zionis melintasi dan berpusing-pusing di atas, kami sampaikan terpaksa mengambil Panadol kerana sakit kepala akibat bunyi yang terlalu berdesing,” katanya ketika berkongsi suasana sambutan Syawal di Gaza.
Media antarabangsa melaporkan Zionis Israel terus memperhebatkan serangan mereka sewaktu umat Islam Palestin sedang bersiap-siap untuk menyambut 1 Syawal. Israel mendakwa serangan itu ditujukan di kawasan yang disyaki kubu Hamas.
Sejak serangan bermula pada 1 Oktober 2023, lebih 33,000 rakyat Palestin terkorban, dengan 85 peratus penduduk telah kehilangan tempat tinggal.
Serangan bertali arus itu juga menunjukkan Israel tidak mengambil peduli tekanan dunia, biarpun Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) pada 26 Januari lepas telah memutuskan Zionis itu perlu menghentikan serangan, dan perlu membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke Palestin.
Dalam pada itu Dr Ziad berkata, kelaziman sambutan Syawal di Palestin tidak banyak bezanya dengan sambutan di Malaysia, terutamanya dengan kegembiraan kanak-kanak mendapat ‘duit raya’ daripada orang yang lebih tua.
“Kali ini semua keluarga akan menangis. Setiap keluarga, sudah pasti mempunyai sekurang-kurangnya seorang yang mati syahid, atau cedera, dan majoriti daripada mereka sudah kehilangan tempat tinggal.
“Memang kami mempunuai iman, kami masih cuba tersenyum dan cuba meraikan Syawal dengan apa yang mampu, tetapi kali ini ujiannya amat berat. Kami mengharapkan rakyat Palestin dan masyarakat dunia dapat bersama-sama di Baitulmaqdis selpeas Palestin kembali bebas,” katanya lagi.
Saksikan temubuan eksklusif bersama Dr Ziad Shehada, Pengurus Besar MyCARE di Gaza, di AWANI 745 malam ini.
#Dr Ziad Shehada #Kekejaman zionis #Palestin #Syawal Berdarah
;