Syarikat Singapura cipta kit ujian PCR mudah alih, kesan COVID-19 dalam lima minit
Agensi
November 30, 2020 15:05 MYT
November 30, 2020 15:05 MYT
SYARIKAT teknologi perubatan dari Singapura, Cell ID mendakwa mereka berjaya menghasilkan kit ujian polymerase chain reaction (PCR) yang dapat mengeluarkan keputusan positif COVID-19 dalam masa lima minit.
Ketua Pegawai yang terlibat dalam teknologi itu, Xander Sim berkata, sesiapa yang akan mengendalikan ujian tersebut tidak memerlukan latihan khusus untuk mendapatkan keputusan itu.
Menurutnya, semua kerja-kerja itu dijalankan menggunakan aplikasi pada komputer riba dan hanya memerlukan masa dua jam untuk benar-benar memahami sistem tersebut.
Begitupun, Xander Sim berkata, mereka yang terlibat masih perlu mahir dan menjalani latihan melakukan swab test melalui hidung, lapor The Straits Times.
“Dengan cara ini, ketika penumpang masuk di lapangan terbang, anda hanya perlu menahannya untuk waktu yang singkat sebelum anda mendapatkan hasilnya,” katanya ketika mengumumkan kit ujian Quiz PCR Biochip.
Ujian PCR yang digunakan sebelum ini memerlukan makmal dan individu khas untuk menjalankan ujian dengan segala sampel perlu disimpan dalam keadaan sejuk.
Ia juga memerlukan masa beberapa hari untuk mendapatkan hasilnya.
Begitupun, Xander Sim berkata, ujian PCR daripada syarikat itu dapat mengesahkan kes positif dalam lima minit dan kes negatif kurang dari satu jam.
“Objektifnya adalah menghasilkan alat yang mampu menghasilkan keputusan yang tepat dan cepat, tanpa kompromi dalam hasil ujian tetapi dengan harga yang sangat berpatutan,” ujarnya.
Dengan Quiz PCR Biochip, sampel sapuan hidung dicampurkan terlebih dahulu dalam larutan.
Sebilangan kecil campuran yang dihasilkan - 10 mikroliter - kemudian digabungkan dengan larutan lain.
Ini dilakukan bagi memastikan bahawa tanda genetik virus dalam jumlah yang cukup tinggi untuk dikesan.
Campuran ini kemudian dimasukkan ke dalam salah satu dari dua ruang khas di Quiz PCR Biochip, yang saiznya lebih kecil daripada kad kredit.
Cip ini kemudian dipasang ke port USB khas, digelar "Poche" dan disambungkan ke komputer riba untuk ujian bermula, hasilnya dapat dipantau secara masa nyata.
Bergantung pada jumlah port USB yang tersedia, banyak ujian dapat dijalankan pada masa yang sama.
Cip tersebut kemudiannya akan dilupuskan selepas setiap ujian selesai.