Syarikat pengeluar vaksin COVID-19 mohon kelulusan tambahan dos penggalak

Astro Awani
Oktober 14, 2021 08:58 MYT
Sebilangan rakyat Amerika Syarikat kini sudah menerima suntikan penggalak vaksin Pfizer. - Foto fail/REUTERS
SYARIKAT pembuat vaksin COVID-19 di Amerika Syarikat sedang memohon kelulusan tambahan daripada pengawal selia persekutuan dalam usaha untuk berikan lebih dos penggalak kepada rakyatnya yang berisiko.
Pada masa sama, permohonan terhadap dos pertama bagi kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun turut dilaksanakan.
Sebilangan rakyat Amerika Syarikat kini sudah menerima suntikan penggalak vaksin Pfizer.
Jutaan lain yang sebelum ini menerima vaksin COVID-19 Moderna dan Johnson & Johnson kini menanti keputusan yang bakal dicapai berkenaan dos penggalak.
Koordinator COVID-19 White House, Jeffrey Zients memaklumkan, program dos penggalak atau 'booster shot' di negara itu ketika ini sedang berjalan dengan lancar dan terus meningkat.
"Menjelang akhir hari ini, kami menjangkakan lebih 7 juta rakyat Amerika Syarikat sudah menerima dos penggalak termasuk 3 juta yang sudah menerimanya minggu lepas.
"Yang paling penting sekali, kurang tiga minggu dari sekarang, lebih ramai warga emas yang layak akan mendapatkan suntikan penggalak.
"Jadi, program kita ketika ini bermula dengan baik dan terus menunjukkan kejayaan, dalam pada kita menunggu FDA dan CDC capai keputusan berkenaan dos penggalak vaksin Moderna dan J&J dalam beberapa hari akan datang," katanya.
Jelas Zients, kerajaan mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi, dan mereka sudah bersedia untuk mengedarkan sejurus selepas ia diluluskan.
Pada Khamis dan Jumaat, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) akan berbincang dengan jawatankuasa terlibat untuk menentukan keperluan dan syarat dos penggalak bagi vaksin Moderna dan J&J.
Ini dilapor akan dilakukan secara terbuka dengan data dikongsikan kepada umum.
Ketua Pakar Bedah Amerika Syarikat, Dr Vivek Murthy menyifatkan proses tersebut akan menambah keyakinan orang awam terhadap vaksin.
#kelulusan tambahan #dos penggalak #Kanak-kanak #Vaksin Pfizer
;