Syarikat penerbangan Thailand dinasihat elak guna ruang udara sekitar Taiwan

Bernama
Ogos 4, 2022 20:52 MYT
Pada Khamis, China mengumumkan pihaknya telah memulakan latihan ketenteraan di enam zon sekitar Taiwan sehingga Ahad.
BANGKOK: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) pada Khamis menasihatkan semua syarikat penerbangan di negara ini untuk mengelak menggunakan ruang udara sekitar Taiwan ketika China memulakan latihan ketenteraan di sekitar pulau itu mulai hari ini.
"Semua syarikat penerbangan mesti mematuhi Notis kepada Juruterbang (NOTAM) dan sentiasa menyemak pengumuman terkini NOTAM yang dikeluarkan oleh China," menurut CAAT.
Pada Khamis, China mengumumkan pihaknya telah memulakan latihan ketenteraandi enam zon sekitar Taiwan sehingga Ahad.
Kementerian pertahanan Taiwan memaklumkan beberapa peluru berpandu Dongfeng telah dilancarkan di perairan timur laut dan barat daya pulau itu, lapor Reuters.
Ketegangan di Selat Taiwan meningkat selepas lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat Nancy Pelosi ke pulau itu pada Selasa.
-- BERNAMA
#Taiwan #China #ruang udara #CAAT
;