Syarikat penerbangan Asia Barat perli arahan AS tidak benar bawa gajet ke ruang kabin
Syafique Shuib
Mac 24, 2017 15:14 MYT
Mac 24, 2017 15:14 MYT
BEBERAPA syarikat penerbangan Asia Barat menghasilkan beberapa iklan untuk perli perintah Amerika Syarikat yang tidak membenarkan penumpang membawa peralatan elektronik besar ke ruang kabin.
Antara syarikat penerbangan yang bertindak demikian adalah Royal Jordanian.
Menerusi satu iklan yang dimuat naik di akaun Twitter, mereka berkata setiap minggu ada sahaja larangan yang dikuatkuasakan.
Namun, ia berkata larangan itu tidak akan menjejaskan pengalaman para penumpang di dalam pesawat dengan perkhidmatan hiburan yang disediakan.
Ia kemudian kongsi 12 perkara yang boleh dilakukan di dalam pesawat tanpa komputer riba atau peranti.
Qatar Airways turut mempromosikan perkhidmatan hiburan mereka.
Reuters sebelum ini melaporkan larangan itu melibatkan syarikat penerbangan yang berpangkalan di Jordan dan Arab Saudi.
Tiada syarikat penerbangan AS yang dikenakan larangan yang sama.
CNN yang memetik seorang pegawai kanan AS melaporkan, larangan membawa masuk barangan elektronik ke atas beberapa pesawat syarikat penerbangan, mempunyai kaitan dengan aktiviti al-Qaeda di Semenanjung Arab dan juga berdasarkan maklumat dari Yaman.