Syarikat Malaysia disiasat pihak berkuasa Indonesia berhubung pembakaran hutan

Astro Awani
September 17, 2015 11:24 MYT
Presiden Joko Widodo telah mengarahkan pihak keselamatan pada Isnin untuk mempercepatkan usaha-usaha memadamkan api dan membatalkan permit syarikat terbabit. - Gambar Fail
Sebuah syarikat Malaysia menjadi salah sebuah firma sedang disiasat pihak berkuasa Indonesia berhubung pembakaran hutan dan semak ekstrem yang menjadi faktor jerebu di sebahagian besar Asia Tenggara, menurut menteri Indonesia pada Rabu.
Keadaan asap yang semakin merosot di utara Indonesia, Singapura dan beberapa bahagian di bandar di Malaysia mengakibatkan penutupan banyak sekolah dan gangguan terhadap beberapa penerbangan minggu ini, sementara Indonesia mengarahkan tindakan tegas dikenakan ke atas pihak yang bertanggungjawab.
Memetik laporan Reuters, Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan Indonesia, Siti Nurbaya dipetik sebagai berkata, syarikat dari Malaysia kini sedang disiasat.
"Kami masih menyiasat jika ada syarikat dari Singapura yang terbabit," katanya ringkas.
Polis Riau, di pusat jerebu paling teruk, berkata seorang pegawai sedang memantau operasi yang dijalankan oleh syarikat kelapa sawit Indonesia, Langgam Inti Hibrido turut disenaraikan sebagai suspek.
Usaha untuk menghubungi syarikat tersebut gagal buat masa ini.
Saban tahun, Asia Tenggara dilanda jerebu teruk akibat rutin pembukaan tanah dan pembakaran hutan di kepulauan Sumatera dan Kalimantan, namun pihak kerajaan Indonesia masih tidak berkemampuan untuk menangani masalah tersebut.
Kebakaran di kawasan tersebut semakin menjadi-jadi dengan kesan fenomena cuaca, El Nino yang mengakibatkan musim kemarau berpanjangan di Indonesia dan hakisan tanah.
Gejala jerebu tahun ini telah mengakibat kerugian bertrilion rupiah pada ekonomi Indonesia, dengan kemerosotan berpanjangan dijangka dalam masa terdekat, kata Nurbaya.
Namun, pihak polis Indonesia masih tidak mahu terburu-buru menamakan suspek lain dilaporkan akan mengumumkan tiga atau empat syarikat yang berkemungkinan berdepan sekatan dan pembatalan permit.
Presiden Joko Widodo telah mengarahkan pihak keselamatan pada Isnin untuk mempercepatkan usaha-usaha memadamkan api dan membatalkan permit syarikat terbabit.
Kira-kira 3,000 pihak askar dan polis, 17 helikopter dan empat pesawat pembenihan awan telah digerakkan untuk memadamkan api, kata agensi pengelolaan malapetaka Indonesia.
#El Nino #Indonesia #jerebu #Singapura #Siti Nurbaya
;